Seo Services

Sarawak Tambah Bajet Tampung Projek Dibatalkan Kerajaan Persekutuan


KUALA LUMPUR: Kerajaan Sarawak akan menambah jumlah bajet untuk tahun depan bagi menampung projek-projek persekutuan yang dibatalkan di negeri ini sekali gus meneruskan kesinambungan pembangunan.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, bajet tersebut akan dibentangkannya pada 5 November depan sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Kalau kerajaan persekutuan kata tidak ada duit, yang bermakna mereka tidak dapat memberikan kita peruntukan malah membatalkan projek-projek untuk Sarawak yang diluluskan oleh kerajaan terdahulu, maka kita akan menambah bajet sendiri.

“Bermakna, banyak projek pusat akan kita teruskan kerana kita tidak mahu terlalu bergantung dengan Putrajaya… Sarawak mesti dibangunkan oleh anak Sarawak,” ujarnya pada sesi Townhall #TanyakAbgJo sempena program ‘Lan Berambeh Anak Sarawak 2019’ di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, semalam.

Abang Johari berkata, pembentangan Bajet Sarawak 2019 juga akan memperkenalkan beberapa inisiatif baharu kerajaan negeri, antaranya bantuan kewangan untuk anak Sarawak yang baharu lahir.

“Saya sudah berbincang dengan kabinet negeri untuk mencari yang terbaik diberikan kepada rakyat dan kami akan tampil dengan bantuan ini.

“Bantuan ini akan diberikan kepada setiap bayi yang lahir bermula tahun depan, namun ibu bapa tidak boleh mengeluarkannya.

“Duit ini akan terkumpul yang ditambah dengan faedah dan ia boleh digunakan oleh anak tersebut apabila berusia 18 tahun, misalnya untuk melanjutkan pelajaran,” katanya.

Selain itu, Abang Johari berkata akan turut mengumumkan mengenai pelaksanaan Rumah Pertiwiku, satu lagi inisiatif baharu kerajaan negeri dalam membantu rakyat negeri ini memiliki rumah sendiri.

“Rumah ini adalah eksklusif untuk orang Sarawak sahaja... orang luar tidak boleh membeli rumah ini,” katanya sambil menambah ia sekarang di peringkat penggubalan dasar.

Kerajaan negeri juga akan mencari jalan menambah tabung bagi membantu anak-anak Sarawak yang melanjutkan pelajaran mendapatkan pembiayaan, katanya.

Sementara itu, Abang Johari ketika ditemui selepas sesi tersebut berkata, Jawatankuasa Kabinet untuk menangani isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu seimbang dari segi keanggotaan bagi memastikan matlamat mengembalikan keistimewaan kepada Sarawak dan Sabah tercapai secara adil.

Menurut beliau, keanggotaan ketika ini tidak seimbang kerana hanya dua wakil dari kerajaan Sarawak dalam jawatankuasa tersebut iaitu beliau sendiri dan Peguam Besar Sarawak, Datuk Talat Mahmood Abdul Rashid.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian yang turut disenaraikan sebagai wakil Sarawak, bagaimanapun tidak mewakili kerajaan negeri.

Justeru, Abang Johari berkata, kerajaan negeri telah mencadangkan agar susunan semula dibuat dalam jawatankuasa berkenaan berdasarkan jawatankuasa antara kerajaan.

“Kerajaan persekutuan telah mengiktiraf kita sebagai rakan sekutu dalam penubuhan Malaysia. Maka itu, apa yang patut dibuat adalah wakil dari kerajaan Sarawak, kerajaan Sabah dan kerajaan persekutuan haruslah seimbang.

“Kemudian, baharulah kita dapat membincangkan mengenai isu yang telah dipersoalkan dalam MA63 kerana kalau tidak, jika kelulusan dibuat menggunakan undi majoriti maka kita akan tersingkir,” katanya.

Jawatankuasa Kabinet untuk menangani isu MA63 bagi mengembalikan keistimewaan kepada Sarawak dan Sarawak akan diketuai oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Selain Abang Johari, Talat dan Baru, ia dianggotai Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafee Apdal, Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo dan Menteri Luar Saifuddin Abdullah.

Selain itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Darell Leiking, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ismail Bakar.

Turut menganggotai jawatankuasa itu ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk David Wong Dak Wah, Peguam Besar Sabah Zaleha Rose Pandin, Peguam Negara Tommy Thomas serta Profesor Undang-Undang Universiti Malaya Prof Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi. - UTUSAN BORNEO
Sarawak Tambah Bajet Tampung Projek Dibatalkan Kerajaan Persekutuan Sarawak Tambah Bajet Tampung Projek Dibatalkan Kerajaan Persekutuan Reviewed by Admin on October 21, 2018 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.