KUCHING, 21 Okt (Bernama) -- Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen hari ini menyangkal dakwaan pihak pembangkang bahawa projek-projek yang diluluskan oleh kerajaan terdahulu telah dibatalkan untuk pelaksanaan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Chong yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata beliau telah menyemak dengan Kementerian Kewangan Persekutuan dan diberitahu bahawa hanya dua kategori projek telah dibatalkan.
Beliau berkata kedua-dua kategori projek yang ditamatkan adalah projek yang dijanjikan oleh bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa siri lawatannya ke negeri ini menjelang pilihan raya.
Menurut Chong, terdapat beratus-ratus "projek" yang diumumkan oleh Najib di seluruh negara tetapi tiada peruntukan yang diluluskan bagi projek itu dalam bajet.
"Upacara pecah tanah telah dilakukan untuk projek-projek tersebut tetapi ia tidak pernah dilaksanakan,” kata Chong pada sidang media di sini hari ini.
Menurut Chong, satu lagi kategori projek yang dibatalkan ialah projek-projek yang ditawarkan tanpa tender terbuka yang dirujuknya sebagai “projek kroni”.
Chong berkata projek-projek di bawah kedua-dua kategori itu sama ada ditamatkan atau dikaji semula, kerana kosnyua terlalu tinggi, tidak mungkin dapat dilaksanakan dan tidak begitu memberi manfaat kepada negara.
-- BERNAMA
Tidak benar projek dilulus di Sarawak ditamatkan - Pengerusi DAP Sarawak
Reviewed by Admin
on
October 21, 2018
Rating:

No comments: