Tiga anjing liar yang ditangkap di Jalan Teng Chin Hua di sini, disahkan positif rabies.
Menteri Muda Perumahan dan Kesihatan Awam Dr Annuar Rapa’ee berkata, ketiga-tiga anjing itu ditangkap pada 29 Ogos lepas.
“Sampel yang dihantar ke Kuching kemudian mengesahkan tiga ekor anjing liar ini positif rabies,” ujarnya pada sidang media, lewat petang semalam.
Terdahulu beliau telah mempengerusikan Mesyuarat Kawalan Penyakit Rabies Bahagian Sibu di Pejabat Residen, yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong merangkap Pengerusi MPS Datuk Tiong Thai King serta ketua-ketua jabatan.
Menurut Dr Annuar, Bilik Operasi Kawalan Rabies Bahagian Sibu kini memfokuskan kawasan dalam lingkungan 10 kilometer dari kawasan kes itu dikesan.
Untuk itu katanya, mereka telah menjalankan operasi pertama iaitu ACD (Active Case Detection), di mana pasukan perubatan pergi dari rumah ke rumah bagi mengesan kes gigitan anjing.
“Kita juga akan menjalankan operasi memindahkan anjing liar dari kawasan ini dan memberi vaksin kepada semua anjing di kawasan terlibat.
“Semua ini akan dapat dicapai jika ada kerjasama daripada orang awam terutama dalam program vaksinasi,” ujar Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi itu.
Dr Annuar turut menasihati pemilik haiwan peliharan itu agar tidak membiarkan anjing mereka berkeliaran kerana dibimbangi akan bergaduh dengan anjing liar.
Menurut beliau, sekiranya anjing tersebut bergaduh dengan anjing liar, risiko terkena jangkitan rabies adalah tinggi.
“Buat masa ini, kawasan dalam lingkungan 10 kilometer atau seluruh bandar Sibu ini merupakan kawasan yang kritikal,” tegasnya.
ADUN Nangka itu turut mengingatkan orang awam agar tidak membawa anjing dari luar ke Sibu.
Beliau juga menasihati pemilik anjing agar menghantar haiwan peliharaan mereka itu bagi mendapatkan vaksinasi di pejabat Jabatan Veterinar, Jalan Perpaduan secara percuma dari jam 8.30 pagi hingga 10.30 pagi, setiap hari.
Sehingga kini, sejumlah 8,081 anjing telah diberi vaksin rabies di Sibu.- UTUSAN BORNEO
Tiga anjing liar ditangkap di Sibu disahkan positif rabies
Reviewed by Admin
on
October 04, 2018
Rating:

No comments: