Seo Services

Wakil DAP buat laporan SPRM berhubung projek bekalan air Tanjung Manis


SIBU: Naib Pengerusi DAP Sarawak David Wong Kee Woan hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tentang dakwaan berlaku kepincangan melibatkan RM850,989,967.70 dalam projek paip air Tanjung Manis.

Bercakap kepada pemberita sebelum membuat laporan itu di pejabat SPRM di Wisma Persekutuan di sini, Wong berkata beliau membuat laporan berkenaan berdasarkan jawapan Menteri Kerja Raya Sarawak kepada soalan beliau semasa sidang Dewan Undangan Negeri dari 9 hingga 18 Julai.

“Menurut jawapan yang diberi kepada saya oleh Kementerian Kerja Raya, kepincangan yang berlaku itu nampaknya menjadikan keseluruhan projek terbabit sebagai (projek) gajah putih, bermakna ia tidak boleh digunakan dan merupakan sebuah projek gagal serta membazirkan wang pembayar cukai,” katanya.

Wong, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan, diiringi ke pejabat SPRM oleh ADUN Bukit Assek Irene Chang, ADUN Pujut Dr Ting Tiong Choon dan beberapa anggota parti itu.

Kata Wong, keseluruhan projek itu, yang akan dilaksanakan dalam lapan pakej, diserah kepada lapan kontraktor bukan melalui tender terbuka, tetapi secara rundingan terus, dan beliau mendakwa perbuatan itu mungkin menjadi penyebab kerajaan negeri terpaksa mengeluarkan perbelanjaan tambahan sebanyak berpuluh juta ringgit dengan menggunakan wang pembayar cukai.

“Menurut Kementerian Kerja Raya Sarawak, tender terbuka tidak dipanggil semata-mata ‘memandangkan projek berkenaan perlu disiapkan dengan cepat bagi memenuhi jangkaan permintaan hab halal Tanjung Manis'. Bagaimanpaun, penyampaian projek itu sudah mengalami kelewatan selama dua tahun,” katanya.

Beliau mendakwa kelewatan projek itu menjejaskan hab halal di Tanjung Manis, di mana kerajaan Sarawak telah melabur hingga sebanyak RM1.14 bilion.

Pakej kedua hingga kelapan siap secara fizikal sekitar 2016, tetapi keseluruhan ujian dan pentauliahan kerja yang telah disiapkan itu belum dilakukan berikutan masalah dialami pakej pertama projek berkenaan.

“Oleh itu, kami tidak tahu sama ada Pakej No.2 hingga Pakej No.8 bebas daripada masalah.

“Sekiranya terdapat kajian kebolehlaksanaan atau kajian kebolehlaksanaan telah dilakukan dan Kementerian Kerja Raya mengambil kiranya secara serius, projek itu akan didapati tidak boleh dilaksanakan dan dengan itu, beratus juta ringgit tidak akan terbazir kerana projek berkenaan,” kata Wong.

Laporan SPRM itu juga dibuat berdasarkan laporan berita bahawa pada 18 Okt, Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) Sarawak Aidel Lariwoo berkata jawatankuasa berkenaan hanya dapat mengadakan pendengaran awam tentang pakej fasa satu projek bekalan air Tanjung Manis 'yang gagal' setelah mendapat arahan daripada Dewan Undangan Negeri.

“Jawatankuasa itu, yang sepatutnya bersifat bebas, mempunyai kuasa untuk memanggil agar diadakan pendengaran awam, tetapi keenganan PAC berbuat demikian nampaknya menunjukkan isu ini terlalu besar dan sensitif dari segi politik bagi kerajaan negeri Sarawak,” kata Wong.

Beliau berkata, Laporan Ketua Audit Negara 2017 menyebut bahawa projek itu tidak mencapai sasaran dihasratkan iaitu untuk membekalkan air paip kepada penduduk Tanjung Manis dan Hab Halal Tanjung Manis.

Wong berkata selain tidak disiapkan mengikut tempoh ditetapkan, projek itu juga tidak menepati spesifikasi yang terkandung dalam perjanjian kerja, manakala pembelian paip bernilai RM12.02 juta adalah melebihi jumlah sebenar yang diperlukan.

“Sebagai ADUN Sarawak, adalah menjadi tugas dan tanggungjawab saya untuk membuat laporan rasmi bagi melindungi kepentingan rakyat Sarawak agar mereka mendapat pulangan terbaik daripada pelaburan besar dalam projek bekalan air Tanjung Manis dan projek Hab Halal Tanjung Manis,” katanya.

-- Bernama
Wakil DAP buat laporan SPRM berhubung projek bekalan air Tanjung Manis Wakil DAP buat laporan SPRM berhubung projek bekalan air Tanjung Manis Reviewed by Admin on October 29, 2018 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.