Seo Services

Kerajaan tidak anak tirikan rumah ibadat kaum minoriti

Foto Borneo Post
ENGKILILI: Kerajaan Sarawak tidak pernah menganaktirikan mana-mana rumah ibadat sekalipun ia dimiliki kaum minoriti di negeri ini.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili Dr Johnical Rayong Ngipa, Kerajaan Sarawak sejak dahulu lagi mengamalkan toleransi kaum dan kesemua hampir 30 suku kaum yang menghuni negeri ini dapat hidup aman, bekerjasama dan hidup rukun.

“Kita cukup beruntung kerana sekalipun tampuk pemerintahan bertukar ganti dan kini di bawah pentadbiran Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, memperlihatkan kerukunan kaum sentiasa terbela dan dijunjung tinggi.

“Senario ini agak berbeza dengan jiran kita Semenanjung Malaysia yang sentiasa tegang dengan perbalahan walaupun hanya berpunca daripada isu kecil namun adanya ‘tangan ghaib’ meracuni pemikiran menyebabkan api perkauman senang menyala,” katanya.

Dr Rayong yang juga ketua Pemuda Parti Rakyat Bersatu (UPP) berkata demikian semasa berucap merasmikan Projek Baik Pulih Tokong Jelukong Engkilili berusia 40 tahun bernilai RM50,000 di bawah geran Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2018.

Katanya, rakyat Malaysia dan Sarawak khasnya harus belajar daripada peristiwa 13 Mei yang meragut banyak nyawa melibatkan kaum Melayu, Cina dan India termasuk penjawat awam disebabkan api perkauman yang dinyalakan oleh pihak berkepentingan.

“Namun bagi kita di Sarawak cukup beruntung di sebalik kejadian huru-hara dan api perkauman yang cuba disemai di sebelah sana...kita tidak terpengaruh malah banyak pendapat mengatakan konsep 1Malaysia sebenar telah lama wujud di Sabah dan Sarawak dan tiada di Semenanjung,” ujarnya dan menambah rakyat berbilang kaum harus menerima kekurangan dan kelebihan setiap kaum di Sarawak dan Malaysia bagi menjaga perpaduan yang terbina sejak puluhan tahun lalu.

Bercakap lanjut, beliau mengajak kaum Cina berdiri kukuh menyokong Abang Johari memimpin Sarawak terutama dalam menghadapi senario politik negara yang kurang stabil ketika ini.

“Abang Johari dan barisan kepimpinan negeri berada di landasan tepat dalam memperjuangkan hak Sarawak menerusi MA63 serta isu pemilikan dan hasil minyak negeri yang selama ini dikikis oleh kerajaan pusat sejak bertahun lamanya,” katanya.

“Cukup-cukuplah kita memberi muka kepada orang Semenanjung mentadbir urusan kekayaan Sarawak serta menentukan hala tuju negeri Sarawak kerana Sarawak harus ditadbir oleh anak Sarawak sendiri,” tegasnya.

Ujarnya, Sarawak ramai barisan pemimpin berkualiti, justeru tidak ada sebab untuk kita membiarkan parti Semenanjung mentadbir negeri ini.

“Kita harus belajar daripada kesilapan rakan kita di Sabah yang membenarkan parti Semenanjung mentadbir negeri namun kini kesedaran sudah ada menyebabkan mereka menukarnya dengan parti tempatan...dan senario itu harus membuka mata orang Sarawak bahawa baik buruk negeri ini harus ditadbir anak tempatan,” katanya.

Pada majlis sama, Dr Rayong mengumumkan peruntukan dana RTP 2019 berjumlah RM100,000 untuk Tokong Marub yang merupakan tokong tertua di Sarawak untuk kerja baik pulih.

Sementara Tokong Jelukong turut diagihkan dana baharu RTP 2019 berjumlah RM100,000 untuk membina dewan terbuka rumah ibadat tersebut.

Terdahulu, majlis perasmian tersebut dihadiri ratusan penduduk termasuk ketua-ketua kaum sekitar DUN Engkilili. - UTUSAN BORNEO
Kerajaan tidak anak tirikan rumah ibadat kaum minoriti Kerajaan tidak anak tirikan rumah ibadat kaum minoriti Reviewed by Admin on November 26, 2018 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.