Tiga persatuan sivil Dayak menyokong penuh keputusan Putrajaya mengesahkan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), kerana mendakwa komuniti itu telah diabaikan.
Kongres Kebangsaan Dayak (DNC), Persatuan Graduan Dayak Sarawak (SDGA) dan Pertubuhan Hak Asasi Orang Asal Sarawak (SCRIPS) berkata Bumiputera Sarawak masih tertunggu-tunggu reformasi untuk menghapuskan semua bentuk diskriminasi kaum.
“Kami juga mahu keadilan dalam pelantikan di sektor awam yang telah menyebabkan banyak ketidakpuasan hati dalam kalangan masyarakat Dayak,” kata mereka dalam kenyataan.
Kenyataan itu ditandatangani oleh Presiden DNC Paul Raja, Presiden SDGA Dusit Jaul dan Setiausaha Agung SCRIPS Michael Jok.
Mereka berkata masyarakat tidak perlu bimbang tentang kedudukan istimewa Bumiputera dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan (PP) selagi perlembagaan tetap sama, lebih lagi apabila majoriti wakil rakyat berketurunan Melayu dan Orang Asal Sabah dan Sarawak.
Mereka seterusnya mengingatkan Perkara 153 PP mempunyai 2 sisi iaitu ia memperuntukkan kedudukan istimewa kepada Bumiputera, dan ia melindungi hak Bukan Bumiputera.
“Ini juga bermakna tidak boleh mendiskriminasikan Bumiputera atau Bukan Bumiputera. Jika Perkara 153 memperuntukkan kuota tertentu kepada Bumiputera, maka Bukan Bumiputera mesti diberi hak untuk menyertai bidang-bidang di luar sistem kuota itu,” katanya.
Bagaimanapun, kata mereka, peruntukan mengenai kedudukan istimewa atau hak-hak yang sah itu mesti dibezakan daripada monopoli.
“Sebagai Orang Asal Sarawak, kami ingin menekankan kami tidak mahu keistimewaan kami menjadi hak untuk monopoli bagi kumpulan tertentu sahaja,” katanya.
“Sekiranya mana-mana pihak menuntut lebih banyak daripada apa yang telah diperuntukkan undang-undang maka tuntutan itu kemungkinan besar tidak masuk akal.”
Mereka seterusnya berkata Perkara 153 PP tidak mengangkat mana-mana komuniti menjadi tuan di Malaysia.
“Sekiranya kriteria menjadi tuan didasarkan pada penduduk asal, maka tuan di Tanah Melayu sepatutnya Orang Asli manakala di Sabah dan Sarawak adalah Orang Asal,” katanya.
Mereka berkata Orang Asal Sabah dan Sarawak tidak pernah meminta diskriminasi kaum, dan hanya mahu kerajaan memberi apa yang diminta oleh setiap komuniti ketika negara ini dibentuk.
“Pastinya bukan tuan untuk satu komuniti manakala yang lainnya dianggap sebaliknya,” katanya. - FMT
Kumpulan Dayak Sarawak Sokong ICERD
Reviewed by Admin
on
November 23, 2018
Rating:
Reviewed by Admin
on
November 23, 2018
Rating:

No comments: