SIBU: Seorang petugas Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) hari ini ditahan di Lapangan Terbang Sibu (LTS) bagi membantu siasatan polis berhubung kes mengodam tablet di pusat pemilihan PKR Cabang Julau.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak Superintenden Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, pegawai sistem dan teknologi maklumat, 44 itu ditangkap sekitar 9.45 pagi susulan satu laporan polis yang dibuat oleh Exco kerajaan negeri Selangor, Rodziah Ismail semalam.
Katanya, polis turut merampas seunit komputer riba, seunit iPad, dua iPhone dan lima pemacu pena.
"Suspek kini sedang disiasat di Sibu. Sekiranya siasatan dapat diselesaikan terhadapnya, dia akan dibebaskan dengan jaminan polis.
"Sekiranya siasatan tidak dapat diselesaikan dalam tempoh 24 jam, permohonan reman 117 Kanun Prosedur Jenayah akan dipohon," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam kejadian sekitar 2.30 petang semalam di Kompleks Sukan Julau, Rodziah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga melihat salah seorang petugas JPP (suspek) sedang memeriksa tablet satu persatu.
"Pengadu dimaklumkan bahawa Sistem E-Voting digodam oleh Malware (Perisian Hasad) 'Prey'. Pengadu mengesyaki tindakan petugas tersebut dan meminta siasatan dijalankan oleh polis untuk mengenal pasti pihak-pihak yang terlibat," ujarnya.
Menurut beliau, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 5(1) Akta Jenayah Komputer 1997 iaitu penggubahsuaian tanpa kuasa kandungan komputer.
Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dihukum di bawah Seksyen 5(4) Akta sama, yang memperuntukkan hukuman, denda tidak melebihi satu ratus ribu ringgit atau penjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya. - UTUSAN BORNEO
Petugas JPP diberkas bantu siasatan kes godam tablet di Julau
Reviewed by Admin
on
November 11, 2018
Rating:

No comments: