Seo Services

MH370: Bluefin-21 sudah meliputi 50 peratus kawasan pencarian

PERTH - Kenderaan Dalam Air Autonomi (AUV) Bluefin-21 setakat ini telah melakukan pencarian di lebih kurang 50 peratus kawasan yang difokuskan bagi mengesan pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang sejak 8 Mac.

Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) berkata kawasan pencarian yang diberi fokus itu berupa satu bulatan dengan radius 10 kilometer di sekeliling tempat isyarat kedua dikesan alat pengesan pinger pada 8 April.

Bagaimanapun, setakat ini tiada sebarang petunjuk berkaitan pesawat itu berjaya dikesan, kata JACC dalam kenyataan di sini pada Ahad.

Agensi yang menyelia operasi mencari itu berkata Bluefin-21 memulakan misi kelapannya sejurus selepas selesai menjalankan misi ketujuhnya pada Ahad pagi.

Pada Sabtu, agensi itu berkata AUV berkenaan melakukan pencarian di kawasan seluas kira-kira 133 km melalui misi keenamnya.

Pada Sabtu juga, Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika menafikan laporan media bahawa pencarian di dalam air akan mengambil masa enam minggu hingga dua bulan untuk diselesaikan, berkata kawasan mencari yang menjadi tumpuan Bluefin-21 ketika ini akan dapat diliputi sepenuhnya minggu depan.

Menurut beliau kini adalah masa yang tepat bagi pihak yang terlibat dalam operasi mencari pesaswat itu menimbang dan berbincang tentang penggunaan kapal selam.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Australia Tony Abbott membayangkan operasi mencari itu akan dibincang dan dikaji semula sekiranya tidak terdapat perkembangan baharu dalam masa beberapa hari akan datang.

Bluefin-21 mula digunakan pada Isnin bagi mengesan serpihan pesawat berkenaan selepas tiada lagi isyarat dikesan alat pengesan pinger sejak 8 April. - Bernama

MH370: Bluefin-21 sudah meliputi 50 peratus kawasan pencarian MH370: Bluefin-21 sudah meliputi 50 peratus kawasan pencarian Reviewed by Admin on April 20, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.