Seo Services

Ban Ki-moon gembira Malaysia calon kerusi tidak tetap Majlis Keselamatan PBB

NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon menyatakan kegembiraan dengan pencalonan Malaysia menduduki kerusi tidak tetap Majlis Keselamatan PBB.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata perkara itu dinyatakan kepadanya semasa melakukan kunjungan hormat ke atas Setiausaha Agung berkenaan di pejabatnya di badan dunia tersebut di sini.

"Beliau sangat gembira Malaysia turut bersaing untuk kerusi tidak tetap Majlis Keselamatan," katanya dalam sidang media selepas pertemuan itu, semalam.

Turut hadir Wakil Tetap Malaysia ke PBB, Datuk Hussein Haniff.

Anifah berkata pelbagai isu dibincangkan semasa pertemuan itu termasuk situasi di Thailand, Syria dan Ukraine.

"Beliau juga memandang tinggi pasukan keamanan kita serta memohon bantuan dan sumbangan lanjut jika boleh," katanya.

Anifah berkata, Ban juga meluahkan rasa simpati kepada Malaysia berhubung tragedi pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 dan mahu beliau menyampaikan sendiri mesej itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Pesawat itu yang membawa 239 orang hilang ketika di ruang udara Laut China Selatan, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur menuju Beijing pada awal pagi 8 Mac. 

Misi mencari sedang dijalankan di selatan Lautan Hindi, di perairan Australia Barat.

"Alhamdulillah, secara keseluruhan saya berpuas hati dengan lawatan kerja ini yang saya rasa berjaya mencapai matlamat," kata Anifah mengenai lawatan kerja lima harinya itu.

Beliau juga optimis mendapat lebih banyak sokongan terutama daripada negara anggota Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) semasa berlangsungnya mesyuarat menteri-menteri luar pergerakan itu di Algeria minggu depan. Anifah dijangka berlepas ke Algeria esok. - BERNAMA
Ban Ki-moon gembira Malaysia calon kerusi tidak tetap Majlis Keselamatan PBB Ban Ki-moon gembira Malaysia calon kerusi tidak tetap Majlis Keselamatan PBB Reviewed by Admin on May 24, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.