Seo Services

Wanita lesap RM11,500 ditipu ‘pegawai Bank Negara’

SIBU: Seorang kerani wanita dari sebuah syarikat pembalakan di sini kerugian berjumlah RM11,500 selepas kurang daripada satu jam menerima panggilan daripada seorang penipu profesional kononnya pegawai Bank Negara.

Kejadian itu berlaku selepas pengadu, 49, menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki bangsa Cina memberitahunya buku cek CIMB bank dan kad kredit Standard Chartered didaftar atas namanya disalahgunakan oleh pihak ketiga.

Menurut pengadu, lelaki tersebut juga mengarahkannya menghubungi nombor telefon (03-2698****) untuk mengesahkan panggilan tersebut adalah panggilan dari pihak Bank Negara.

Apabila pengadu meng-hubungi talian tersebut, dia hanya mendengar suara komputer yang memberitahu mengesahkan nombor tersebut sememangnya talian Bank Negara.

Pengadu yang hanya dikenali sebagai Wong berkata, lelaki tersebut memanggilnya sebanyak tujuh kali dalam tempoh satu jam menjelaskan mengenai masalah kad kredit dan buku ceknya.

“Untuk membolehkan penyemakan dilakukan pihak Bank Negara, lelaki itu me-nyuruh saya memindahkan wang dalam akaun Standard Chartered saya ke satu akaun Maybank,” katanya.

Menurutnya, lelaki itu (pemanggil) memberi jaminan bahawa wang dipindahkan ke akaun berkenaan untuk sementara dan akan dimasuk-kan semula ke dalam akaun asalnya selepas penyemakan selesai dilakukan.

Bagaimanapun, pengadu juga disuruh meninggalkan sedikit baki di dalam akaunnya sejumlah RM200.

Bimbang kenyataan dimaklumkan oleh pihak bank itu benar, pengadu terus pergi ke bank mengeluarkan sejumlah RM11,500 dan kemudiannnya memasukkan wang tersebut ke akaun Maybank atas nama Kassim Yeo Abdullah yang tidak dikenalinya.

Tidak lama selepas dia memasukkan wang ke akaun tersebut, lelaki berkenaan sekali lagi menghubunginya.

“Saya telah memberitahu lelaki itu bahawa saya telah memasukkan wang seperti mana yang dikehendaki,” katanya.

Oleh kerana tidak berpuas hati, pengadu cuba meng-hubungi kembali lelaki tersebut di talian yang sama namun tiada jawapan.

Mencurigai dirinya telah menjadi mangsa penipuan, pengadu membuat laporan polis mengenai kes tersebut di Balai Polis Sentral Sibu tengah hari semalam.- Utusan Borneo
Wanita lesap RM11,500 ditipu ‘pegawai Bank Negara’ Wanita lesap RM11,500 ditipu ‘pegawai Bank Negara’ Reviewed by Admin on May 24, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.