Seo Services

Dayung Sangon 2014 : Elssey Lessianna Richard


KUCHING, 11 Mei (Bernama) - Elssey Lessianna Richard dimahkotakan sebagai pemenang Dayung Sangon (pertandingan ratu cantik Bidayuh) 2014 Sabtu malam.

Dengan memanfaatkan keayuan dan personaliti menarik yang dimilikinya, pelajar berusia 23 tahun dan model sambilan ini mengalahkan 11 peserta lain pada majlis yang berlangsung di dewan suarah Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) di sini.

Gadis manis dari Kampung Pichin, Serian ini menerima hadiah RM3,000, trofi dan hamper berisi produk keluaran Nestle kerana dimahkotakan sebagai ratu dalam pertandingan yang julung diadakan itu.

Tempat kedua dimenangi Jacqualine Ayong, pelajar universiti berusia 20 tahun dari Kampung Simpok, Padawan, manakala kerani pentadbiran Iesha Bezzani, 23, dari Kampung Taiee, Serian mendapat tempat ketiga.

Jacqualine dan Iesha masing-masing menerima hadiah RM2,000 dan RM1,000, trofi dan hamper.

Ketiga-tiga mereka akan mewakili masyarakat Bidayuh pada perbarisan sambutan Gawai peringkat kebangsaan di Miri.

Isteri Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan negeri Datuk Seri Michael Manyin dan isteri Menteri Muda Kesihatan Awam Datuk Dr Jerip Susil menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Sembilan peserta lain masing-masing menerima hadiah sagu hati RM300 dan hamper daripada Nestle Products.

Sebanyak 41 peserta bersaing di peringkat awal, tetapi hanya 12 dipilih ke peringkat akhir.

Manyin, yang juga ketua penasihat DBNA, turut menyaksikan pertandingan itu yang diadakan bersempena sambutan Gawai tahun ini.

Selain pertandingan itu, hadirin juga dihiburkan dengan persembahan kebudayaan oleh Kumpulan Kebudayaan Kampung Semban dari Penrissen dan kumpulan kebudayaan dari Biatah, Serian dan Bau.

Bertemakan 'Budaya Dalam Kepelbagaian', pertandingan itu diharap dapat mengumpul pelbagai kumpulan Bidayuh dari kawasan Kuching, Bau, Serian, Lundu, Penrissen dan Padawan untuk mempamerkan keunikan masing-masing melalui pakaian, bahasa dan makanan mereka.

"Pertandingan ini boleh menjadi platform penting untuk peserta membina personaliti dan memupuk keyakinan diri serta menjadi duta masyarakat Bidayuh," kata presiden DBNA Datuk Ik Pahon Joyik.

Beliau berkata terdapat rancangan untuk menjadikan aktiviti kebudayaan ini acara tahunan dalam kalendar pelancongan Sarawak.

Sumber - Bernama
Dayung Sangon 2014 : Elssey Lessianna Richard Dayung Sangon 2014 : Elssey Lessianna Richard Reviewed by Admin on May 12, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.