Seo Services

Hubungan Malaysia dan China amat akrab - Muhyiddin


KUALA LUMPUR - Jalinan persahabatan antara Malaysia dan China selama 40 tahun telah diuji masa dan pada setiap kalinya kedua-dua negara mengharunginya dengan cemerlang dan menjadi lebih kukuh, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata hubungan Malaysia dan China pada masa ini adalah amat akrab, membabitkan pelbagai aspek, pelbagai peringkat dan tradisi kepercayaan bersama dalam memanfaatkan peluang dan kesejahteraan terus menjadi teras hubungan, yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

Muhyiddin berkata situasi itu turut menyumbang kepada keharmonian dan kestabilan di rantau ini serta meningkatkan daya maju dan kedinamikan pembangunan sosio-ekonomi.

"Kedua-dua negara kita telah membuktikan kepada satu sama lain bahawa kita adalah jiran yang baik, rakan baik dan rakan kongsi baik yang telah mengharungi pahit manis bersama-sama," katanya dalam ucapan pada majlis sempena ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik antara China dan Malaysia di sini malam ini.

Sempena acara bersejarah itu, Timbalan Perdana Menteri mahu Kuala Lumpur dan Beijing berusaha untuk memastikan Malaysia dan China meneruskan kerjasama dalam menjamin keamanan dan kemakmuran seperti dihasratkan oleh pemimpin kedua-dua negara.

Muhyiddin turut yakin hubungan Malaysia dan China bakal memasuki era baharu dari segi kerjasama dan manfaat untuk 40 tahun akan datang.

Beliau berkata tahun 2014 telah dipilih oleh kerajaan Malaysia dan China sebagai "Tahun Pertukaran Persahabatan Malaysia-China" sempena ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik kedua-dua negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan melakukan lawatan rasmi ke China dalam masa terdekat dan dijangka lebih banyak pertukaran diadakan selepas lawatan itu, kata Muhyiddin.

Timbalan Perdana Menteri menegaskan keputusan oleh Perdana Menteri Kedua Malaysia Tun Abdul Razak Hussein untuk menjalin hubungan diplomatik dengan China pada 1974 terbukti merupakan langkah bersejarah dalam pembinaan negara bangsa Malaysia.

"Misi beliau ke Beijing merupakan perjalanan muhibah dan persahabatan untuk memupuk persefahaman bersama antara Malaysia dan China."

Muhyiddin berkata pemeteraian Pernyataan Bersama itu telah membuka lembaran baharu dalam hubungan Kuala Lumpur dan Beijing dan telah membawa kepada kedua-dua negara menandatangani banyak perjanjian dua hala yang telah mengukuhkan lagi hubungan.

"Kedua-dua negara kita telah memupuk dan membina rasa hormat, persefahaman dan keyakinan bersama serta meningkatkan kerjasama ekonomi.

"Menerusi hasrat bersama, kita telah mewujudkan dan menjana pelbagai peluang, membawa kepada pengukuhan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara kita," katanya.

Menurutnya, pemeteraian Program Lima Tahun bagi Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan antara Malaysia dan China (2013-2017) pada 4 Okt, 2013 telah menyediakan hala tuju dan keutamaan yang jelas dalam kerjasama perdagangan dan ekonomi Kuala Lumpur-Beijing.

Muhyidddin turut merakamkan penghargaan Malaysia kepada kerajaan China dalam memastikan ketibaan dua ekor beruang panda gergasi di negara ini semalam.

"Dua ekor beruang panda bernama Fu Wa (jantan) dan Feng Yi (betina) yang tiba semalam menjadi bukti dan simbol persahabatan China-Malaysia," katanya. - Bernama
Hubungan Malaysia dan China amat akrab - Muhyiddin Hubungan Malaysia dan China amat akrab - Muhyiddin Reviewed by Unknown on May 23, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.