Seo Services

JKM komited untuk terus bantu golongan kurang bernasib baik


Penerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) perlu sedar bahawa sebarang perkhidmatan atau pemberian bantuan yang diterima mereka adalah percuma tanpa memerlukan sebarang yuran pemprosesan.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga negeri, Datuk Fatimah Abdullah berkata, penerima bantuan itu perlu membuat aduan sekiranya terdapat mana-mana pihak meminta bayaran untuk memproses borang-borang tersebut.

Katanya, perkara itu menjadi perhatian JKM selepas menerima beberapa aduan namun beliau percaya perkara itu telah lama berlaku tetapi tiada yang berani melaporkan.

"Justeru, saya ingin menasihatkan semua penerima bantuan JKM supaya berani menyuarakan perkara tersebut supaya tindakan boleh diambil oleh pihak berkuasa.

"Saya ingin mengingatkan bahawa proses bagi memohon bantuan JKM adalah percuma dan sekiranya ada yang meminta bayaran, bantuan itu bukan daripada agensi kerajaan ini sebaliknya mungkin daripada pertubuhan lain," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Amal Gawai Dayak 2014 serta penyerahan bantuan kepada 100 orang golongan kurang bernasib baik di sini semalam.

Mengulas lanjut Fatimah berkata, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM5.19 juta kepada 4,322 individu kurang bernasib baik di kawasan Miri dan Baram sehingga Mei lalu.

Katanya, peruntukan itu merupakan bukti keprihatinan kerajaan dalam membela nasib rakyat terutamanya mereka yang kurang bernasib baik di negeri ini.

"Sebanyak 1,745 penerima bantuan di Miri manakala 2,577 di Baram dan kesemua mereka terdiri daripada orang kurang upaya, ibu tunggal, keluarga miskin dan anak-anak yatim.

"Bantuan menerusi JKM ini tidak mengira latar belakang, kaum atau agama dan pegangan politik, inilah bukti keprihatinan kerajaan," katanya.

JKM komited untuk terus bantu golongan kurang bernasib baik JKM komited untuk terus bantu golongan kurang bernasib baik Reviewed by Unknown on May 30, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.