Seo Services

Rumah hakim singkir Yingluck dilontar bom tangan



Rumah seorang daripada sembilan hakim Mahkamah Perlembagaan yang membuat keputusan untuk menyingkirkan bekas Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra daripada jawatan itu atas kesalahan salah guna kuasa, menjadi sasaran satu serangan bom awal pagi ini.

Rumah hakim itu, Suphot Kaimuk di Lat Phrao Soi 34, diserang dengan sebutir bom tangan jenis M67 kira-kira pukul 2 pagi hingga mengakibatkan kerosakan kecil kepada bumbung bangsal dan sebuah kereta.

Selain itu, beberapa jam selepas Mahkamah Perlembagaan menyingkirkan Yingluck dan sembilan menteri Kabinetnya, dua bom tangan jenis sama turut dilempar di Hospital Chulabhorn di daerah Laksi, manakala dua lagi bom dilempar di ibu pejabat Bank Siam Commercial di daerah Lat Phrao, malam tadi.

Bagaimanapun, kesemua serangan itu hanya mendatangkan kerosakan kecil kepada premis tersebut tanpa mengakibatkan kecederaaan kepada mana-mana individu.

Dalam perkembangan berasingan, penunjuk perasaan antikerajaan yang mengadakan demonstrasi jalanan enam bulan lalu dilaporkan mahu membentuk sebuah kerajaan baharu berikutan keputusan mahkamah itu.

Bagaimanapun, pemerhati politik Thailand memberi amaran tindakan itu hanya akan membangkitkan kemarahan dalam kalangan penyokong kerajaan serta meningkatkan lagi keganasan di negara ini.

"Esok (Jumaat), kami akan memulakan langkah untuk membentuk sebuah kerajaan baharu selepas keputusan mahkamah itu. Kerajaan telah kehilangan semua kewajaran dan sebarang tuntutan untuk memerintah negara ini," kata jurucakap penunjuk perasaan, Akanat Promphan.

Bagaimanapun, masih tidak jelas asas undang-undang yang munasabah di atas pengumuman Akanat itu, namun beliau menyifatkan terdapat satu artikel dalam Perlembagaan Thailand yang membolehkan pelantikan sebuah kerajaan baharu oleh Dewan Senat.

Sementara itu, Amerika Syarikat, semalam mahu ketegangan politik di Thailand diselesaikan secara aman dan pilihan raya baharu diadakan selepas Mahkamah Perlembagaan menyingkirkan Yingluck dan sembilan menteri Kabinet kerana menyalahgunakan kuasa.

"Kami terus menggesa kesemua pihak supaya menyelesaikan ketegangan politik Thailand dalam keadaan aman dan demokratik supaya rakyat Thailand boleh memilih parti politik yang layak," kata jurucakap Jabatan Negara AS, Jen Psaki. - AGENSI/AFP

Rumah hakim singkir Yingluck dilontar bom tangan Rumah hakim singkir Yingluck dilontar bom tangan Reviewed by Unknown on May 09, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.