Bercakap ketika membahaskan Rang Undang-Undang (Pindaan) Pusat
Biodiversiti Sarawak 2014, Dennis Ngau (BN-Telang Usan) berkata, hutan yang
terdapat di negeri ini sudah pasti mempunyai sumber rawatan tambahan kepada
perubatan sedia ada.
Malah menurutnya, ia boleh dibuktikan dengan kehidupan penduduk
luar bandar terutama yang jauh dari pusat perubatan hanya bergantung kepada
sumber hutan untuk mengubati penyakit atau luka sehingga hari ini.
“Jadi kita perlu melindungi khazanah ini (ilmu perubatan) yang
mungkin dapat memberi pulangan besar kepada masyarakat tempatan daripada dicuri
pihak luar terutama syarikat farmaseutikal,” katanya.
Beliau menggesa pihak bertanggungjawab mengadakan aktiviti bersama
masyarakat untuk mendidik mereka mengenai hak mereka kerana undang-undang sedia
ada belum pasti dapat melindungi khazanah tersebut.
Sesuatu yang menarik mengenai pindaan rang undang-undang tersebut
kata Dennis, adalah rancangan untuk membangunkan Tabung Amanah Biodiversiti.
“Ia (Tabung Amanah Biodiversiti) memang sesuatu yang menarik
kerana masyarakat tempatan boleh memohon dana untuk membangunkan kampung,”
ujarnya.
Beliau yang menyokong pindaan rang undang-undang tersebut yakin
kepentingan masyarakat tempatan akan terus dilindungi.
Sementara itu, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali (BN-Samariang)
menyifatkan Pusat Biodiversiti Sarawak penting untuk melindungi spesies,
ekosistem dan kepelbagaian marin yang terdapat di negeri ini.
“Dengan penguatkuasaan lebih ketat, diharapkan pusat ini akan
terus menjalankan tugas memulihara kekayaan alam semula jadi dan dapat
melaksanakan penyelidikan terhadap sumber biologi,” jelasnya.
Sumber : borneopost
Sumber hutan Sarawak sebagai sumber perubatan moden
Reviewed by Admin
on
May 08, 2014
Rating:
No comments: