GLASGOW: Pelumba basikal negara Fatehah Mustapa memperbaharui rekod kebangsaan bagi acara 500m ujian masa wanita pada Sukan Komanwel ke-20 di Velodrom Sir Chris Hoy, Emirates Arena, Khamis.
Bagaimanapun Fatehah gagal meraih sebarang pingat dan terpaksa berpuas hati dengan pencapaian kedudukan lima pelumba terbaik selepas mencatat masa 34.667 saat iaitu memadam rekod 34.898s miliknya sendiri.
Pingat emas acara tersebut dimenangi oleh pelumba Australia, Anna Meares dengan masa terpantas 33.435s, sekali gus memperbaharui rekod kejohanan Sukan Komanwel 33.758s milik beliau sendiri.
Rakan senegaranya Stephanie Morton meraih pingat perak dengan catatan 34.079s manakala Jess Varnish dari England meraih pingat gangsa dengan catatan 34.267s..
Fatehah ketika ditemui mengakui berasa terkilan tidak dapat menyumbang pingat pada penampilan pertama beliau di Sukan Komanwel kali ini namun tetap berpuas hati dengan pencapaiannya.
"Memang rasa terkilan tidak dapat menyumbang pingat buat negara, tetapi secara keseluruhan prestasi saya semakin baik.
Saya masih menaruh harapan tinggi untuk meraih pingat di Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan selepas ini," katanya kepada pemberita di sini.
Seorang lagi pelumba kebangsaan Mohd Azizulhasni Awang layak ke pusingan pertama bagi acara pecut individu lelaki esok (Jumaat) selepas menduduki tempat ketujuh dengan catatan masa 10.158s pada pusingan kelayakan.
Bagaimanapun trio pecut negara Mohd Azizulhasni, Muhammad Edrus Yunos dan Josiah Ng gagal meraih kedudukan empat pasukan terbaik dengan catatan masa 45.501s di tempat keenam dalam acara pecut berpasukan lelaki.
Trio New Zealand yang dibarisi oleh Ethan Mitchell, Sam Webster dan Edward Dawkins mencipta rekod kejohanan baharu dengan catatan terpantas 43.254s iaitu memadam rekod 43.772s yang dipegang oleh pasukan Australia.
Pasukan New Zealand itu akan bersaing dengan pasukan England (Philip Hindes, Jason Kenny, Kian Emadi) untuk penentuan pingat emas.
Pasukan Australia (Nathan Hart, Shane Perkin, Matthew Glaetzer) akan berlumba dengan pasukan Kanada (Hugo Barrette, Joseph Veloce, Vincent de Haitre) bagi penentuan pingat gangsa. - BERNAMA
Fatehah Perbaharui Rekod Kebangsaan 500m Ujian Masa Di Glasgow
Reviewed by Unknown
on
July 25, 2014
Rating:

No comments: