Seo Services

Empat Tengkorak Manusia Dipindahkan dari Muzium Sarawak


KUCHING - Setelah kira-kira tiga tahun disimpan sementara di Jabatan Muzium Sarawak, empat tengkorak manusia berusia lebih 100 tahun milik pejuang tempatan yang menentang penjajah, James Brooke dipindahkan semula ke tempat simpanan asalnya di Kubu Margerita di sini.

Bagi melancarkan proses pemindahan, satu upacara `miring' mengikut kepercayaan masyarakat Iban telah diadakan terhadap empat tengkorak terbabit pada Jumaat lalu.

Penolong Pegawai Penyelidik Seksyen Iban, Majlis Adat Istiadat negeri, Jimbun Tawai berkata, empat tengkorak atau `antu pala' dalam bahasa Iban itu pada asalnya disimpan di Kubu Mergerita sebelum diserahkan untuk disimpan sementara oleh Jabatan Muzium negeri selepas kerja menaik taraf tempat asalnya dilakukan pada 2012.

Katanya, keempat-empat tengkorak terbabit adalah milik pejuang yang mati semasa menentang koloni pada zaman British dahulu.

"Mangsa mungkin dibunuh lebih 100 tahun lalu dan tengkorak mereka disimpan di Kubu Margerita.

"Mengikut kepercayaan masyarakat Iban dahulu, mereka akan menyimpan tengkorak para pejuang termasuk tengkorak musuh di dalam rumah panjang," katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Bangunan Abang Godam, Jabatan Muzium negeri di sini.

Upacara 'miring' tersebut diketuai oleh seorang Tok Jampi iaitu Ajai Jalani, 71, yang turut disaksikan oleh Pengarah Muzium negeri, Ipoi Datan dan para pengunjung terdiri daripada pelancong asing dan tempatan.

Ajai memulakan majlis miring dengan menabur beras di sekeliling tikar yang menempatkan semua peralatan untuk upacara berkenaan termasuk empat tengkorak tersebut.

Seterusnya, dia memecahkan telur ayam di dalam piring dan mencampurkan dengan segelas tuak untuk diminum.

Menurut Jimbun, tujuan Tok Jampi meminum air campuran berkenaan adalah simbolik kepada keberanian masyarakat Iban dahulu kala.

"Air tuak yang dicampur dengan telur merupakan sebahagian daripada ritual 'miring'. Ia adalah perkara biasa untuk mana-mana upacara dan sebelum ini, masyarakat Iban menggunakan darah tetapi sudah tidak diamalkan pada masa kini dan digantikan dengan tuak dicampur telur ayam.

"Kita juga tidak boleh memindahkan 'antu pala' ini sesuka hati tanpa melakukan upacara 'miring' yang dilakukan oleh Tok Jampi yang berpengalaman luas. Upacara 'miring' adalah tanda penghargaan kepada semangat 'antu pala' berkenaan," jelasnya.

Beliau berkata, penggunaan ayam jantan dalam upacara itu pula merupakan simbolik untuk membuang sial atau nasib kurang baik.

Tambahnya, beliau tidak dapat memastikan kesahihan asal-usul keturunan empat tengkorak itu namun pihak muzium mengarahkan mereka (masyarakat Iban) untuk melakukan upacara miring mengikut adat istiadat kaum tersebut.


Empat Tengkorak Manusia Dipindahkan dari Muzium Sarawak Empat Tengkorak Manusia Dipindahkan dari Muzium Sarawak Reviewed by Unknown on August 27, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.