Seo Services

NGO ISLAM BOLEH BANTU MARTABATKAN ISLAM DI KAWASAN LUAR BANDAR

KUCHING: Kerajaan ingin melihat lebih banyak Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam yang aktif memartabatkan Islam di kawasan luar bandar di Sarawak.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Haji Daud Abdul Rahman berkata usaha untuk memartabatkan Islam di negeri ini dapat dicapai jika ianya diadakan dengan secara menyeluruh.

"Ini merupakan hasrat kerajaan, kita berharap lebih ramai individu menyahut seruan kerajaan agar memperbanyakkan lagi penubuhan NGO-HGO Islam terutamanya di kawasan luar bandar," katanya.

"Hal demikian kerana usaha memartabatkan Islam tidak hanya aktif di kawasan bandar besar sahaja, saya yakin lebih ramai saudara seagama yang memerlukan bantuan dan sokongan di luar sana."

Daud, yang juga Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur berkata demikian ketika merasmikan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Hikmah dan Agensi/NGO Islam 2014 bertempat  di Dewan Hikmah, Petra Jaya di Bandaraya ini semalam.

Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Hikmah dan Agensi/NGO Islam 2014 telah dihadiri oleh kira-kira 1,000 tetamu terdiri daripada wakil Agensi/NGO Islam serta warga Hikmah dan orang awam. 
Jelasnya lagi, tujuan kerajaan menumpukan usaha memartabatkan Islam di kawasan luar bandar ialah agar saudara-saudara seagama dapat menikmati suasana negara Islam yang sebenar.

"Konsep keharmonian dan pembangunan yang dikecapi oleh masyarakat bandar harus dirasai juga oleh mereka di luar bandar, kita tidak ingin melihat terdapat kelompok yang dipinggirkan dan diabaikan," katanya sambil menambah peranan agensi-agensi Islam dan NGO Islam benar-benar membantu dapat memajukan dan menyatupadukan masyarakat.

"Hikmah misalnya telah banyak menyumbang kepada pembangunan insaniah masyarakat Islam di negeri ini, tidak kira di bandar atau luar bandar, usaha dakwah yang dijalankan oleh Hikmah adalah menyeluruh," jelasnya. 

"Oleh yang demikian, dengan sokongan banyak pihak terutamanya Majlis Islam Sarawak (MIS), Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS), Tabung Baitulmal Sarawak (TBS), Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak, Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Lembaga Kebajikan Darul Falah (LAKDF), JAKIM Sarawak, YADIM, PERKIM Sarawak, Koperasi Anib Berhad serta Biro Perkhidmatan Pendidikan MIS serta Hikmah sendiri akan memudahkan urusan memajukan Islam di negeri ini," tambahnya. 

Dalam majlis yang sama, Daud menjemput orang ramai untuk bersama-sama memberikan penghormatan kepada jenazah mangsa kejadian MH17 yang dijangka tiba di Masjid Jamek, Jumaat (seok) sekitar jam 3.30 petang. 

Hadir sama Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Timbalan Yang Di-Pertua Hikmah, Datu Haji Misnu Haji Taha, Naib Yang Di-Pertua Hikmah, Datu Dr. Adi Badiozaman Tuah, Setiausaha Agung Hikmah, Datu Haji Abang Mohammad Shibli Haji Abang Naillie, Mufti Negeri Sarawak, Datu Haji Kipli Haji Yasin serta wakil-wakil agensi/NGO Islam Negeri Sarawak. - Sarawakiana

NGO ISLAM BOLEH BANTU MARTABATKAN ISLAM DI KAWASAN LUAR BANDAR NGO ISLAM BOLEH BANTU MARTABATKAN ISLAM DI KAWASAN LUAR BANDAR Reviewed by Admin on August 21, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.