Seo Services

Pegawai Cawangan Khas Hampir Hilang Tangan Dalam Serangan Di Simunul

KOTA KINABALU, 20 Ogos (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu diberitahu seorang pegawai Cawangan Khas Bukit Aman hampir hilang sebelah tangannya dalam serangan terhadap pasukan keselamatan di Kampung Sri Jaya, Simunul, Semporna tahun lepas.

ASP Mohamad Hasnal Jamil berkata tangan kanannya terkulai dan hampir terputus.

Menceritakan kejadian itu, beliau berkata pada kira-kira 7.30 malam 2 Mac tahun lepas, ketika melancarkan serbuan bersama 56 pegawai dan anggota polis bagi menahan seorang individu dikenali sebagai 'Imam Tua', mereka tiba-tiba diserang dengan senjata api dan setelah terkena tembakan di bahagian kiri perut, beliau meniarap di hadapan sebuah rumah.

Kata Mohamad Hasnal ketika itu dia bersama pegawai atasannya Supt Ibrahim Lebar (Allahyarham), yang turut terkena tembakan dan seorang lagi pegawai, yang juga meniarap.

"Ketika masih meniarap, saya rasa kepala saya dihentak sebanyak tiga kali dengan objek tajam.

"Saya mendongak ke atas dan melihat seorang lelaki cuba pukul saya. Saya bangun untuk melawan serangan lelaki itu menggunakan kedua-dua tangan saya," katanya.

Mohamad Hasnal memberitahu mahkamah bahawa apabila melihat Ibrahim bangun dan melarikan diri dari tempat mereka meniarap, beliau melakukan perkara sama untuk melarikan diri daripada penyerangnya.

Bagaimanapun, kata pegawai polis itu, beliau mendapati penyerang tadi mengejarnya sambil tangannya memegang satu objek tajam.

"Semasa berlari, saya tersepak kayu dan terjatuh, menyebabkan penyerang saya cuba menyerang saya sekali lagi," katanya.

Mohamad Hasnal berkata ketika lelaki itu cuba menyerangnya untuk kali kedua, beliau terdengar bunyi peluru melintasi telinga kanannya dan kemudian terkena penyerang berkenaan.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Abdul Wahab Mohamed sama ada beliau tahu siapa yang melepaskan tembakan itu, beliau berkata orang berkenaan ialah Sarjan Mustafa Kamal Ngah daripada Cawangan Khas Sabah.

Abdul Wahab: Apa pula terjadi selepas itu?

Mohamad Hasnal: Saya ditarik oleh Mustafa masuk ke dalam sebuah rumah untuk mendapatkan perlindungan. Saya melihat Allahyarham Ibrahim terbaring di beranda rumah tempat kami berlindung.

Mohamad Hasnal berkata keesokan harinya kira-kira 2.30 petang, beliau terdengar bunyi pintu dihentak dan orang menjerit.

Kata Mohamad Hasnal pegawai Cawangan Khas Semporna Insp Khairulnizam Husin memberitahunya bahawa satu operasi menyelamat sedang dilakukan komando VAT69 untuk menyelamatkan anggota polis yang terperangkap di kampung itu.

"Pada masa itu, Khairulnizam arahkan kami supaya menanggalkan baju bagi membezakan pasukan polis dengan penceroboh," katanya.

Mohamad Hasnal berkata beliau dibawa dengan ambulans ke Hospital Semporna dan dirawat selama dua jam sebelum diterbangkan ke Hospital Tawau dengan helikopter polis.

Katanya selepas tinggal di wad selama tiga hari di Hospital Tawau, beliau diterbangkan dengan pesawat Malaysia Airlines ke Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan di Hospital Selayang selama dua minggu.

Pegawai polis ini berkata selain cedera di tangan kanan, beliau juga cedera di bahagian perut akibat ditembak, luka di tangan kiri, di belakang kepala dan kulit kepalanya terkoyak.

Kata Mohamd Hasnal, beliau dirujuk kepada seorang ahli psikologi kerana disyaki mengalami gangguan stres traumatik.

Tiga puluh tertuduh, terdiri daripada 27 rakyat Filipina dan tiga rakyat tempatan, dibicarakan dalam kes ini, dengan sesetengah mereka menghadapi pelbagai tuduhan termasuk menganggotai sebuah kumpulan pengganas atau melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, mencari anggota untuk sebuah kumpulan pengganas atau secara sukarela melindungi orang yang mereka tahu adalah anggota kumpulan pengganas.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara 12 Feb dan 10 April tahun lepas.

Perbicaraan di hadapan hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah bersambung esok.

-- BERNAMA
Pegawai Cawangan Khas Hampir Hilang Tangan Dalam Serangan Di Simunul Pegawai Cawangan Khas Hampir Hilang Tangan Dalam Serangan Di Simunul Reviewed by Admin on August 21, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.