LONDON: Penyanyi veteran British Cliff Richard pada Khamis menafikan sekeras-kerasnya dakwaan melakukan salah laku seksual selepas polis melancarkan siasatan semula berhubung dakwaan lama yang mengaitkannya dengan pencabulan seorang kanak-kanak lelaki.
Rumah Richard turut digeledah pihak polis hari ini.
Penyanyi berusia 73 tahun dan bintang pop sejak 1950-an yang popular dengan lagu-lagu seperti "Devil Woman" dan "Living Doll" berkata dakwaan terbabit sebagai "palsu".
Richard tidak hadir ketika pegawai polis menggeledah apartmennya yang terletak di kawasan komuniti berpagar di Sunningdale, Berkshire, selatan England.
"Waran geledah telah diberikan selepas polis menerima laporan perilaku bersifat seksual sejak tahun 1980-an yang melibatkan seorang budak lelaki yang berada di bawah usia 16 tahun pada masa itu," kata jurucakap polis South Yorkshire.
"Tiada siapa telah ditangkap dan pemilik kediaman tidak hadir."
Richard telah menjual lebih daripada 250 juta rekod sepanjang kerjayanya dan digelar Peter Pan of Pop untuk penampilannya yang kekal tampak muda.
'Tuduhan palsu'
Dalam satu kenyataan, Richard yang kini dilaporkan berada di Portugal, berkata beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan tetapi akan "bekerjasama sepenuhnya" dengan siasatan.
"Untuk beberapa bulan saya telah menyedari tentang tuduhan terhadap saya di dalam internet. Dakwaan itu adalah palsu," kata penyanyi itu.
"Sehingga sekarang saya telah memilih untuk tidak memperbesarkan dakwaan palsu itu dengan apa-apa jawapan.
"Bagaimanapun, pihak polis ke apartmen saya di Berkshire hari ini tanpa notis, tetapi ia disiarkan di dalam media.”
Richard berkata masa ini adalah tidak sesuai untuk beliau memberikan sebarang kenyataan dan memilih untuk menunggu sehingga siasatan polis telah selesai. -AWANI
Penyanyi Cliff Richard nafi lakukan salah laku seks
Reviewed by Unknown
on
August 15, 2014
Rating:
No comments: