Seo Services

Polis Lancar Ops Godam ATM


KUALA LUMPUR: Polis kini melancarkan 'Ops Godam ATM' melibatkan pasukan khas daripada Polis Bukit Aman dan polis kontinjen negeri berkaitan susulan beberapa insiden Mesin Teler Automatik (ATM) digodam mengakibatkan lebih RM1 juta lesap setakat ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK)(Jenayah Siber dan Multimedia) SAC Mohd Kamarudin Md Din berkata penjenayah yang terlibat akan diburu secara besar-besaran.

Menurutnya, polis percaya anggota sindiket yang dikatakan berasal dari Amerika Latin dan Asia Barat itu masih berada di negara ini.

"Justeru, kami mengaktifkan pemantauan di setiap pintu masuk negara sama ada melalui jalan darat, laluan laut dan laluan udara," katanya kepada Bernama hari ini.

Terbaharu, polis menerima satu lagi laporan berhubung kejadian menggodam mesin ATM melibatkan cawangan sebuah bank di Kota Damansara, mengakibatkan kecurian kira-kira RM300,000.

Affin Bank dalam kenyataan menyatakan bahawa sejumlah RM1.271 juta dicuri daripada enam mesin ATM kepunyaan Affin Bank Berhad dan Affin Islamic Bank Berhad di Johor, Melaka dan Selangor.

Mesin ATM terbabit terletak di Johor Baharu, Batu Pahat dan Taman Molek di Johor; Melaka Raya; selain PJ State dan USJ di Selangor.

Menurut bank itu lagi data pelanggan bagaimanapun tidak diganggu atau dikompromi.

Menurut polis, insiden di Kota Damansara itu melibatkan kecurian wang dalam satu mesin ATM walaupun dua ATM didapati diusik penjenayah.

Secara kasar, tujuh mesin ATM milik dua kumpulan perbankan digodam, dipercayai menggunakan sim kad telefon dan sistem teknologi tertentu, sejak Sabtu lepas.

Menurut Mohd Kamarudin, pihak bank terlibat sedang menjalankan semakan bagi menentukan tarikh sebenar kejadian yang menimpa institusi masing-masing.

Mengulas lanjut, Mohd Kamarudin berkata gambar suspek hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kini disebarkan di seluruh negara termasuk bagi tujuan pemantauan di pintu masuk.

Menurutnya, belum ada tangkapan dibuat dan identiti suspek masih belum dikenal pasti. - Bernama
Polis Lancar Ops Godam ATM Polis Lancar Ops Godam ATM Reviewed by Salfian Nawawi on September 30, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.