Seo Services

Balak Haram: SPRM Masuk Jabatan Hutan, Pejabat Tanah


PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini sedang mengesan kelemahan syarat dan prosedur dalam sistem penyampaian Jabatan Perhutanan dan pejabat tanah di Sarawak sebagai langkah pencegahan bagi mengelak kegiatan pembalakan haram berleluasan di negeri berkenaan.

Langkah itu dilaksanakan susulan Ops Tukul bagi membanteras kegiatan pembalakan haram di Sarawak baru-baru ini di mana hasilnya sembilan pembalak haram didakwa kerana menyogok anggota pelbagai agensi penguatkuasaan bagi melindungi kegiatan mereka.

Pengarah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Rasuah, Datuk Hisham Nordin berkata, penahanan anggota penguat kuasa dan penjawat awam yang terbabit dalam kegiatan rasuah, salahguna kuasa dan penyelewengan tidak hanya berakhir dengan tindakan undang-undang, sebaliknya tumpuan kini diberikan terhadap aspek pencegahan.

Beliau berkata, Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan SPRM kini mula meneliti kelemahan setiap prosedur dan syarat di agensi berkenaan untuk penambahbaikan.

"Ia tidak dilakukan selepas siasatan selesai, sebaliknya ketika siasatan masih berlangsung dengan matlamat untuk memperbaiki sistem penyampaian bagi mengekang kegiatan rasuah di peringkat akar umbi.

"Aspek pencegahan ini penting kerana ada kes yang tidak boleh dihadapkan ke mahkamah, sebaliknya perlu perubahan prosedur dan peraturan," katanya kepada mStar Online pada Khamis.

Menerusi Ops Tukul itu, antara 400 hingga 500 kayu balak haram dirampas, selain lapan jentolak dan beberapa lagi mesin serta peralatan yang keseluruhannya bernilai RM1.7 juta.

Jika sabit kesalahan, Seksyen 17(b) Akta SPRM memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

Hisham berkata, aspek pencegahan perlu diberi perhatian kerana ia dapat meningkatkan keberkesanan sesebuah agensi atau jabatan awam.

"Jumlah kerugian yang dialami akibat kegiatan rasuah tidak akan diperoleh semula dan hanya menerusi tindakan pencegahan perlakuan sama dapat dibendung.

"Sebab itu, dalam operasi yang dijalankan jangan hanya melihat bilangan yang ditahan, sebaliknya lihat juga nilai wang yang dijimatkan," katanya sambil menambah Ops Tukul yang menyelamatkan RM100 juta akibat kegiatan pembalakan haram di Sarawak. - mStar
Balak Haram: SPRM Masuk Jabatan Hutan, Pejabat Tanah Balak Haram: SPRM Masuk Jabatan Hutan, Pejabat Tanah Reviewed by Salfian Nawawi on October 30, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.