Seo Services

Intervensi Pendakwaan Diperlukan Dalam Isu Hasutan Kerana Keadaan Keterlaluan


PUTRAJAYA: Intervensi pendakwaan dilihat perlu pada masa kini berkaitan isu hasutan kerana keadaan pada masa ini sudah mencapai tahap keterlaluan, kata Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

Beliau berkata tahap toleransi dan kefahaman yang dahulunya wujud antara rakyat negara ini semakin terhakis sehingga menjejaskan generasi sekarang dan masa hadapan.

Katanya tiada intervensi pendakwaan diperlukan pada suatu ketika dahulu kerana orang awam mampu menanggani komen seperti kes hasutan, secara matang dan sabar, namun kini keadaannya telah berubah.

"Dahulu, sebarang tingkah laku sosial, bahasa yang tidak boleh diterima dan melampaui batasan kebebasan bercakap dihentikan serta merta dan tegas oleh ketua politik dan ketua komuniti yang lain. Hari ini intervensi pendakwaan dianggap perlu kerana keadaan sudah keterlaluan," katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Peguam Negara di sini hari ini.

Abdul Gani berkata terdapat kritikan terhadap Jabatan Peguam Negara mengenai isu semasa yang amat membimbangkan terutama dalam media sosial yang bersifat hasutan, tidak sensitif dan merosakkan hubungan antara rakyat negara ini.

"Kita perlu memahami bahawa setiap orang mempunyai persepsi yang berlainan mengenai sesuatu perkara. Dalam erti kata lain, apa yang sebenarnya wujud mungkin bukan apa yang kita lihat.

"Segalanya bergantung kepada latar belakang, didikan, budaya sosial, agama dan faktor lain. Keadaan sosial berubah dengan peredaran masa dan perkara yang dianggap pengkhianatan atau hasutan pada tahun 90-an kini dianggap amalan yang diterima. Contohnya dalam mempersoal bagaimana kerajaan melaksanakan dasar hari ini dianggap sebahagian proses demokratik.

"Namun bagi mereka yang memilih untuk membahaskan isu dalam forum awam, termasuk media sosial, hendaklah juga sedar tentang keperluan melaksanakan kebebasan bercakap dan bersuara mereka dengan tanggungjawab jika tidak mahu terlanjur hingga melanggar batasan yang diwujudkan dan akibatnya melakukan kesalahan," katanya.

Beliau berkata perbezaan mesti dibuat antara kempen yang dijalankan secara tertib, mengajak perbincangan dan perbahasan matang mengenai isu yang membimbangkan berbanding kempen yang menjejaskan kedaulatan negara dan ketenteraman awam.

Ia termasuk serangan terhadap agama, bangsa dan budaya, institusi Raja berperlembagaan dan Yang di-Pertuan Agong serta seruan untuk Sabah dan Sarawak keluar daripada Persekutuan Malaysia.

"Perkara yang mesti diiktiraf adalah bahawa tiada kerajaan yang boleh menghentikan rakyatnya daripada membincangkan perkara yang menyentuh hak perlembagaan dan hak undang-undang.

"Ini merujuk kepada akauntabiliti dan ketelusan mana-mana kerajaan yang dipilih di mana-mana negara di dunia. Juga diiktiraf bahawa tindakan seharusnya diambil untuk menghormati ideal yang diwujudkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

"Segala hak tersebut hendaklah dihormati dan dilaksanakan melainkan jika Perlembagaan Persekutuan dipinda melalui undi atau referendum rakyat sendiri. Ini kerana kesemua elemen tersebut merupakan elemen 'kontrak sosial' dan tiang asas Perlembagaan Persekutuan dan Malaysia," katanya.

Abdul Gani turut mengingatkan bahawa kebebasan bercakap dan bersuara dalam negara yang berbilang bangsa dan agama hendaklah dilaksanakan dengan bertanggungjawab dan menghormati sensitiviti orang lain.

"Hari ini kemajuan teknologi telah menyegerakan penyebaran segala maklumat, tidak kira baik dan buruk. Sebaik butang ditekan, anda tidak lagi mempunyai kawalan atas destinasi maklumat tersebut. Fikir panjang tindakan kita dan akibatnya," kata Abdul Gani.

Mengenai keputusan untuk tidak mendakwa Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali atas tuduhan menghasut, Abdul Gani berkata suatu pemeriksaan terperinci dibuat dan didapati Ibrahim telah berhati-hati mensyaratkan pengataannya dengan beberapa cara.

Iaitu dengan secara nyata memperjelas bahawa niatnya bukan untuk menimbulkan kekecohan keagamaaan dengan menyatakan bahawa "ini bukan sentimen ataupun nak timbulkan kekecohan agama tetapi ini mempertahankan kesucian agama Islam yang telah jelas dalam undang-undang.

Katanya Ibrahim juga memperjelaskan bahawa yang menyinggung perasaan bukan Bible secara am tetapi edisi Bible khusus dalam versi Bahasa Melayu yang mempunyai kalimah Allah, ayat-ayat tulisan Jawi yang boleh mengelirukan serta dengan jelas mensasarkan kenyataannya khusus kepada kumpulan yang mengedarkan Bible khusus itu kepada pelajar termasuk pelajar Melayu.

Dalam sidang media kemudian, Abdul Gani berkata setiap orang berhak melindungi agama sendiri asalkan tidak melanggar undang-undang.

"Bukan senang hendak menuduh sesiapa di mahkamah tanpa fakta, maklumat dan laporan yang lengkap. Adalah lebih baik jika Jabatan ini mengheret satu kes ke mahkamah dan memenangi kes itu daripada membawa 10 kes ke mahkamah dan hanya menang lima daripadanya."

Pada 21 Januari tahun lepas, terdapat laporan polis yang mengatakan Ibrahim telah menyeru orang Islam untuk merampas dan membakar salinan 'Al-Kitab" yang mengandungi perkataan 'Allah' atau perkataan Arab yang lain dan juga mengandungi tulisan Jawi dalam sidang media selepas konvensyen Perkasa di UiTM Pulau Pinang. - Bernama
Intervensi Pendakwaan Diperlukan Dalam Isu Hasutan Kerana Keadaan Keterlaluan Intervensi Pendakwaan Diperlukan Dalam Isu Hasutan Kerana Keadaan Keterlaluan Reviewed by Salfian Nawawi on October 30, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.