Seo Services

#CB204 : Leftenan Azri Cerita Pengalaman Detik Cemas




SEPANGGAR: "Syukur Alhamdulillah, kami selamat."

Itu ungkapan pertama yang di¬ucapkan Leftenan Azri Bakar sebaik sahaja Kapal Diraja (KD) Ganas berjaya mengesan dan menghubunginya sekali gus membantu menyelamatkan beliau bersama enam lagi anggota yang dilaporkan terputus hubungan di dalam bot tempur CB90.

Lafaz syukur itu dikongsi Pegawai Memerintah KD Ganas, Lef¬tenan Komander Che' Mohd. Fakhrul Azizi Che' Nah yang dihubungi Utusan Malaysia menerusi panggilan telefon di Pusat Operasi Markas Wilayah Dua Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Kota Kinabalu di sini hari ini.

Menurut Che' Mohd. Fakhrul Azizi, kejayaan mengesan dan menyelamatkan CB90 merupakan sejarah manis buatnya sepanjang berkhidmat bersama TLDM kerana tujuh anggota di dalam bot tempur itu merupakan 'keluarganya' dalam perkhidmatan.

Malah, dalam perbualan selama lapan minit itu, beliau turut melahirkan rasa bangga atas kejayaan tersebut.

"Apabila KD Ganas dapat mengesan CB90, saya dan anggota yang ditugaskan dalam operasi mencari dan menyelamat rasa sangat bersyukur dan bangga dapat memberi bantuan, sekali gus menyelamatkan semua pegawai serta anggota termasuk bot tempur berkenaan.

"Perasaan saya sukar hendak gambarkan. Namun, saya meminta semua pihak mendoakan semua anggota terlibat termasuk yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat, pulang ke pangkalan dengan selamat," katanya.

Dalam kejadian pagi kelmarin, bot tempur CB90 bernombor panji CB204 yang diketuai Azri dilaporkan hilang perhubungan kira-kira pukul 11.15 pagi dengan kapal pengiring KD Paus semasa dalam perjalanan ke Terumbu Layang-Layang (Stesen Lima TLDM) bersama enam anggota.

Enam anggota berkenaan ialah Bintara Kanan Charles Christopher Muni; Bintara Muda Ince Ewin; Bintara Muda Steve Hudson Miso; Bintara Muda Nor Azuan Ariffin; Laskar Kanan Sulhajji Daah dan Laskar Kelas I Mohd. Azhry Maani.

Che' Mohd. Fakhrul Azizi memberitahu, perasaan bangga dan sayu turut hadir apabila melihat kesungguhan anggota CB90 berusaha mendapatkan bantuan walaupun dalam keadaan lemah dan tidak bermaya.

Menurutnya, jati diri dan semangat itu jelas memberi kekuatan kepada beliau dan anggota KD Ganas untuk terus berusaha menyelamatkan mereka.

Selain itu katanya, keadaan laut bergelora dengan ombak pada waktu itu setinggi antara tiga hingga empat meter merupakan antara cabaran yang perlu dihadapi dengan cekal dan tabah.

"Hujan lebat juga menjadi cabaran kepada kita selain jarak penglihatan antara KD Ganas dan bot CB90 (apabila berjaya dikesan) adalah dua batu nautika (3.7 kilometer).

"Oleh itu, kawalan kapal yang sistematik amat diperlukan agar usaha tidak tersasar sebaliknya berjaya menyelamatkan mereka," jelasnya.

Beliau menambah, KD Ganas berjaya menerima panggilan kecemasan melalui frekuensi radio saluran 16 sebelum mengambil masa kira-kira tiga jam 40 minit untuk mengesan lokasi CB90.

Sementara itu, usaha Utusan Malaysia untuk menemubual Azri gagal apabila beliau bersama empat lagi anggota masih berada di dalam CB90 yang jarak antara bot itu dan KD Ganas adalah satu batu nautika (1.85 kilometer).-UtusanOnline
#CB204 : Leftenan Azri Cerita Pengalaman Detik Cemas #CB204 : Leftenan Azri Cerita Pengalaman Detik Cemas Reviewed by Unknown on October 08, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.