Seo Services

Hilang Suara Kerana Jadual Kerja Tanpa Henti- Siti

 

KUALA LUMPUR: Bertahun lamanya juga penyanyi popular tanah air, Datuk Siti Nurhaliza tidak berkunjung ke Indonesia untuk mempromosikan album.

Lalu undangan ke negara jiran itu selama lima hari ternyata menggamit memori beliau suatu ketika dulu.

Dulu, negara berkenaan umpama rumah keduanya. Populariti Siti di negara itu bukan sekadar cakap kosong semata-mata.

Siti memang dikenali di sana dan pernah mencipta fenomena. Siti ke sana sejak 19 hingga 23 Oktober lalu.

Pemergiannya ke sana sehari selepas dinobatkan sebagai Penyanyi Wanita Terbaik dan Lagu Terbaik Malaysia ketika berlangsungnya Anugerah Planet Muzik 2014 di Singapura.

Ikuti temubual Siti semalam ketika dihubungi BH Online.

Siti mengakui sampai hilang suara kerana jadual kerja seninya yang berjalan tanpa henti.

"Lima hari di sana walaupun penat dan jadual cukup padat tetapi semuanya cukup berbaloi. Alhamdulillah Siti baru saja dimaklumkan ada mendapat undangan lagi ke Indonesia untuk menjayakan program hiburan mereka.

"Daripada sudut lain, Siti berbangga undangan Universal Music Indonesia dalam siri mempromosikan album Fragmen sebagai jalan mengembalikan perjuangan Siti kepada penggemar muzik di Indonesia," kata penyanyi lagu Jaga Dia Untukku itu.

Siti mengakui kehadirannya ke Indonesia itu mendapat maklum balas yang baik termasuk di kalangan pihak media yang bersemangat mahu mendapatkan bahan berita.

"Media di sana pun sanggup menunggu Siti untuk ditemubual. Siti terbabit di mana-mana program yang diaturkan di sana pun, ada yang datang serbu. Ia sedikit sebanyak mengimbas kembali memori Siti suatu ketika dulu ketika mempromosikan album di sana," katanya.

Menceritakan perjalanan jadual seni yang diaturkan kepadanya, Siti tiba di Indonesia pada 19 Oktober dan terus menjalani latihan pada sebelah siang sebelum konsert bermula sebelah malamnya.

"Hari pertama sampai itu Siti terbabit untuk konsert secara langsung bersempena ulang tahun MNCTV. Keesokan paginya Siti perlu menghadiri temubual untuk program TV. Siti turut membuat penampilan di saluran RCTI.

"Selain konsert ulang tahun itu, Siti juga terbabit dengan Konsert Superstar yang menggabungkan Siti dengan dua penyanyi Indonesia iaitu Ayu Tinting dan Syahrini. Lucunya, konsert dua jam ini yang sepatutnya bermula jam 9 malam terpaksa ditunda jam 11 malam.

"Ini kerana Siti diberitahu mereka memberi laluan kepada perlawanan bola sepak yang berlangsung. Nak tak nak, Siti perlu menunggu tapi Alhamdulillah ia menjadi memori indah ketika berada di sana," katanya.

Siti memberitahu dua konsert yang disertainya itu turut mendapat trending di laman sosial.Di konsert MNCTV, Siti ada menyanyikan lagu irama dangdut hingga menjadi perhatian ramai di sana.

"Ada saluran TV yang wujudkan slot sejam bersama Siti. Siti juga ada bertemu Sarah Sechan untuk program yang dikendalikannya. Siti juga ada bertemu Rhoma Irama dan Cakra Khan. Siti dan Cakra turut menyanyikan lagu duet kami berjudul Seluruh Cinta.

"Tak lama lagi single ketiga dari album Fragmen iaitu Terbaik Bagimu akan dipromosikan pula di Malaysia. Lagu itu juga akan dipromosikan sebagai single pertama di Indonesia," katanya.

Dalam perkembangan lain, Siti turut mendapat lapan pencalonan di Anugerah Industri Muzik ke-21. Selain kategori Rakaman Album Terbaik, Siti turut dicalonkan untuk kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita), Kulit Album Terbaik, Lagu Pop Etnik Terbaik, Lagu Pop Terbaik, Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu dan Album Terbaik.

Penyanyi berdagu lekuk ini juga akan terbabit dengan persembahan Konsert Makan Malam Amal Islami 2014 pada 31 Oktober ini bersama Rabbani dan Mawi di Hotel Kinta Riverfront, Ipoh, Perak.

Konsert itu anjuran Kesatuan Pelajar Islam Perak (KPIP). Penonton boleh memilih untuk membuat tempahan tempat yang berharga antara RM150, RM250, RM350 dan RM500 atau membeli meja (10 orang) dari RM1,500 hingga RM5,000.

Sebarang pertanyaan atau tempahan ke majlis yang bermula jam 8 malam itu boleh dikemukakan kepada jawatankuasa penganjur di talian 011-18745318 (Ustaz Taufiq) atau 019-5077587 (Ustaz Radzi).
Hilang Suara Kerana Jadual Kerja Tanpa Henti- Siti Hilang Suara Kerana Jadual Kerja Tanpa Henti- Siti Reviewed by Unknown on October 30, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.