Seo Services

Kementerian Perumahan Sarawak Anjur Seminar Khas Mengenai GST


KUCHING: Kementerian Perumahan Sarawak akan menganjurkan seminar khas mengenai Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada 20 Januari tahun depan bagi menjernihkan kekeliruan dalam kalangan pemaju perumahan dan pihak berkepentingan di negeri ini.

Menterinya Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, seminar berkenaan merupakan medan terbaik untuk berbincang mengenai perkara itu berbanding hanya berdebat melalui media sosial seperti yang banyak berlaku kini.

“Tiada siapa yang tahu dengan tepat apakah akan ada pengurangan atau peningkatan harga rumah melalui pengenalan GST.

“Tetapi berdasarkan maklumat kita dalam GST, sepatutnya ada pengurangan harga pada harga yang mana pemaju tidak dapat terima.

“Mungkin SHEDA menggangap GST yang mereka bayar pada bahan binaan dan cukai itulah yang mereka mahu kenakan kepada pembeli rumah.

“Padahal sebenarnya GST yang mereka bayar ke atas barangan yang dikenakan cukai boleh mereka tuntut kembali melalui potongan cukai input.

“Jadi, tiada alasan untuk mereka mahu menaikkan lagi harga rumah,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan oleh Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA) baru-baru ini bahawa pelaksanaan GST tahun depan akan menyebabkan kenaikan harga rumah.

Dalam perkembangan lain, Abang Johari memberitahu bahawa kerajaan akan menarik syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi membantu membangunkan rumah kos rendah dan sederhana di negeri ini.

Menurutnya, usaha itu adalah untuk memberi alternatif kepada pembeli kerana apabila rumah semakin banyak maka persaingan akan menyebabkan harga rumah menjadi kompetitif dan lebih rendah.

“Pemaju perumahan GLC ini akan memiliki syarikat kewangan sendiri yang dapat menyediakan pinjaman kepada pembeli rumah.

“Untuk itu, kita akan menyerahkannya kepada Mutiara Mortgage & Credit dengan modal RM15 juta,” jelasnya. Tambahnya, antara faktor lain pemaju perumahan GLC diperlukan adalah bagi menjadi penstabil kepada projek perumahan lain di negeri ini.

“Saya lihat di kawasan-kawasan tertentu, termasuk Samarahan yang dianggap sebagai tempat yang panas sekarang, banyak rumah yang masih kosong dan saya mengesyaki sesuatu sedang berlaku,” katanya.

Namun begitu, beliau yang enggan mengulas lanjut mengenainya menyatakan bahawa ia hanyalah sangkaan pihaknya. - UB
Kementerian Perumahan Sarawak Anjur Seminar Khas Mengenai GST Kementerian Perumahan Sarawak Anjur Seminar Khas Mengenai GST Reviewed by uMieySurianie on October 30, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.