Seo Services

Peratusan Wanita Sarawak Terlibat Keusahawanan Lebih Ramai Daripada Lelaki


KUCHING: Golongan wanita di negeri ini ternyata telah membuktikan kesungguhan untuk memahirkan diri dalam bidang keusahawanan kerana menjadi penyumbang terbesar dalam bidang tersebut.

Menurut Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) Datuk Mohd Naroden Majais, golongan wanita yang menceburi bidang keusahawanan di Sarawak mencatat peratusan sebanyak 60 peratus berbanding lelaki yang mencatat 40 peratus.

Katanya dengan semangat sedia ada, beliau mahu lebih ramai wanita di luar sana merebut peluang yang semakin luas yang disediakan kepada golongan itu untuk memperkasakan kemahiran dalam bidang keusahawanan dan perniagaan.

“Saya sangat suka akan semangat yang ditonjolkan golongan wanita negeri ini pada masa sekarang yang semakin menunjukkan minat untuk menceburi bidang keusahawanan dan perniagaan meskipun bermula dari kecil-kecilan.

“Semangat inilah yang perlu kita pupuk dari awal kerana ini merupakan salah satu cara yang ideal untuk meningkatkan ekonomi keluarga sekali gus membasmi kemiskinan,” katanya.

Naroden berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Kursus Keusahawanan Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) anjuran bersama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Sarawak di ibu pejabat PPWS di sini, semalam.

Pada masa sama, beliau juga menyarankan golongan itu agar membina hubungan kerjasama erat dengan agensi pelaksana atau penganjur program keusahawanan sebagai platform untuk mereka mempromosi produk dan memperluaskan jaringan perniagaan.

“Jangan lepaskan peluang yang ada kerana kita tidak mahu rugi pada masa akan datang.

“Justeru, saya amat menyeru wanita untuk tampil memperkasakan kemahiran mencipta produk untuk dipasarkan,” tegasnya.

Beliau yang juga merupakan Menteri Muda Perancangan Sumber menambah, golongan wanita yang menceburi bidang perniagaan juga perlu mahir menggunakan teknologi maklumat sebagai cara untuk mempromosi produk mereka melalui sistem atas talian.

Jelasnya, pada masa kini telah banyak usahawan yang berjaya hanya menggunakan jaringan teknologi maklumat untuk memperkenalkan produk yang dihasilkan.

Mengulas mengenai kursus selama dua hari itu, Pegawai Perunding Kanan MPC Wilayah Sarawak Waila Mohd Nasir berkata, program tersebut bertujuan memberi pendedahan kepada golongan wanita untuk bergiat lebih aktif dalam pembuatan kepelbagaian produk.

“Bukan hanya di Kuching, kami turut menganjurkan program keusahawanan seumpama ini di seluruh Sarawak merangkumi Miri, Saratok, Sarikei, Lawas, Kapit, Mukah, Bintulu, Simunjan, Tanjung Manis dan banyak lagi.

“Setakat Oktober tahun ini, seramai 1,249 ahli PPWS telah menyertai 27 kursus keusahawanan yang dianjurkan sejak 2009,” katanya.

Hadir sama ialah Pengerusi PPWS Aishah Edris. - UB
Peratusan Wanita Sarawak Terlibat Keusahawanan Lebih Ramai Daripada Lelaki Peratusan Wanita Sarawak Terlibat Keusahawanan Lebih Ramai Daripada Lelaki Reviewed by JANUARIUS on October 30, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.