BUTTERWORTH: Seorang wanita bertindak membuat laporan polis selepas mendapati anak lelakinya berusia tiga tahun dalam keadaan terikat tangan dan kaki ketika membuat pemeriksaan di rumah pengasuhnya, semalam.
Wanita berusia 38 tahun itu menghantar anak lelakinya itu ke rumah pengasuh di Taman Sri Pinang dekat sini, sejak Jun tahun lalu sebelum keluar bekerja di sebuah kilang.
Sebelum ini tiada sebarang masalah berlaku. Namun, ibu mangsa rasa curiga selepas anaknya pulang dari rumah pengasuhnya dalam keadaan lapar beberapa hari lalu.
Menurut sumber, ibu mangsa yang mengesyaki anaknya didera bertindak membuat pemeriksaan mengejut dengan pergi ke rumah pengasuh anaknya jam 10 pagi dan terkejut melihat anaknya terikat tangan dan kaki.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim berkata, pemeriksaan terhadap kanak-kanak itu tidak menemui sebarang kesan luka atau lebam di badannya.
Katanya, suspek bertindak demikian kerana mendakwa kanak-kanak itu terlalu nakal.
Susulan laporan polis berkenaan, pengasuh berusia 39 tahun itu ditahan petang semalam sebelum Mahkamah Sesyen Butterworth memutuskan dia direman tiga hari mulai hari ini hingga Jumaat bagi membantu siasatan. - Harian Metro
Ikat Tangan Budak Tiga Tahun, Pengasuh Direman
Reviewed by Salfian Nawawi
on
October 30, 2014
Rating:
No comments: