SAMARRA (Iraq): Kumpulan militan Negara Islam (IS) di Iraq membunuh seorang jurukamera berita Iraq dan 12 yang lain di beberapa bandar dan kampung di utara Baghdad, pada Jumaat, menurut pegawai, saudara-mara dan saksi.
Pejuang IS menembak mati Raad al-Azzawi, 37, jurukamera saluran berita tempatan, Sama Salaheddin, abangnya dan dua orang awam di kampung Samra, timur kota Tikrit, kata saudara-mara jurukamera tersebut.
"IS membunuh beliau, saudaranya dan dua yang lain di khalayak ramai hari ini," kata saudaranya yang bercakap dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan, bimbang tindakan balas oleh IS.
Menurut badan pemantau media Reporters Without Borders (RSF), bapa kepada tiga anak itu ditahan IS pada 7 September.
"Mereka datang ke rumahnya dan menahan dia dan saudaranya," kata saudara-maranya.
"Dia tidak melakukan sebarang kesalahan, 'jenayah' yang dilakukan hanya kerana menjadi jurukamera, dia hanya menjalankan tugasnya."
"Berkemungkinan besar ada orang di kampung yang menuduhnya bekerja untuk kerajaan dan memberikan maklumat. Dia sentiasa membawa kameranya bersama," katanya.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan RSF bulan lepas, IS mengancam untuk membunuh Azzawi atas alasan dia telah menolak untuk bekerja dengan mereka.
Selepas mensasarkan minoriti agama dan etnik di kawasan itu yang diambil alih empat bulan lalu, IS baru-baru ini membunuh berpuluh-puluh orang yang disyaki mempunyai kaitan dengan kerajaan Syiah.
IS membunuh sembilan yang lain di utara Tikrit pada Jumaat, yang semua mereka disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan anti-jihad Sunni, menurut pegawai-pegawai keselamatan dan saksi.
Di bandar Az-Zab, 90 kilometer (55 batu) barat hab minyak Kirkuk, enam orang telah dibunuh di khalayak ramai. - mStar
IS Bunuh Jurukamera Iraq, 12 Yang lain
Reviewed by Salfian Nawawi
on
October 11, 2014
Rating:
No comments: