Seo Services

Kenaikan Petrol: Kerajaan Diharap Dengar Suara Rakyat Luar Bandar


KUCHING: Kerajaan persekutuan diharap dapat mendengar suara rakyat termasuk di luar bandar negeri ini berikutan kenaikan harga petrol, melalui pengumuman belanjawan yang akan datang.

Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional Sarawak (BNBBC) Abdullah Saidol berkata, perkara itu perlu diambil kira atau rakyat akan menunjukkan ketidakpuasan hati mereka pada pilihan raya akan datang.

“Apabila kerajaan persekutuan memutuskan untuk mengurangkan subsidi petrol, saya berharap mereka mempertimbangkan dan mewujudkan beberapa bentuk skim bagi meringankan beban khasnya penduduk luar bandar di Sarawak.

“Kerajaan persekutuan berkata, keputusan berkenaan adalah untuk dasar Rasionalisasi Subsidi Petrol tetapi secara peribadi saya berpendapat bahawa masa untuk menaikkan harga minyak adalah tidak rasional,” katanya kepada Utusan Borneo di sini, semalam.

Beliau menegaskan seperti biasa dalam hal itu, reaksi pembangkang sudah diramalkan, bahawa mereka berani menggunakan isu janji yang tidak ditepati dalam Manifesto Pilihan Raya.

“Sekiranya kerajaan persekutuan sudah bersedia bercakap mengenai Rasionalisasi Subsidi maka sebagai ADUN yang mewakili penduduk luar bandar, adalah menjadi keinginan saya untuk melihat lebih banyak dana pembangunan kepada kawasan luar bandar,” kata Abdullah.

Beliau menjelaskan, seperti sedia maklum Perdana Menteri telah mengumumkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah dengan meningkatkan ia kepada RM900.

Bagaimanapun kata Abdullah, beliau merasakan ia tidak memberi sebarang perbezaan sekiranya harga barangan asas pengguna turut meningkat.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop berkata, sebagai wakil rakyat di kawasan luar bandar khasnya, tidak menafikan bahawa kenaikan minyak memberi kesan sama ada secara langsung atau tidak langsung kepada barangan dan perkhidmatan pengguna.

“Seperti pada kebiasaanya para pembekal atau peniaga pasti akan mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan.

“Sebagai wakil rakyat di luar bandar, kami harus menghargai dan kami amat prihatin tentang kebimbangan dan ketakutan mereka mengenai kenaikan harga petrol yang turut memberi kesan ke atas kehidupan harian mereka.

“Kerajaan persekutuan sepatutnya mengetahui bahawa di kawasan seperti kawasan saya dan yang lain di Sarawak, kebanyakan rakyat masih menggunakan pengangkutan air sama ada bot sendiri atau bot komersial,” tegasnya sambil memberitahu, terdapat peruncit yang akan meningkatkan harga barangan disebabkan kos pengangkutan yang meningkat.

Beliau memberitahu, rakyat di kawasannya juga sudah membuat aduan kepadanya bahawa kos barangan dan pengangkutan bagi bahan binaan untuk membina rumah mereka akan meningkat. - UB
Kenaikan Petrol: Kerajaan Diharap Dengar Suara Rakyat Luar Bandar Kenaikan Petrol: Kerajaan Diharap Dengar Suara Rakyat Luar Bandar Reviewed by Salfian Nawawi on October 05, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.