KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak mempunyai sebarang kuasa untuk menyekat aplikasi yang bukan milik negara termasuk laman sosial Facebook.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, oleh kerana itu, kuasa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) terbatas dan tidak mempunyak hak untuk menutup Facebook milik sesiapa di negara ini.
"Kita boleh buat aduan dan minta kepada pengurusan Facebook sendiri untuk menutup akaun pemilik tertentu namun kuasa tertakluk kepada mereka. Itu di luar kemampuan kita," katanya.
Ahmad Shabery menjawab soalan tambahan Datuk Seri Noh Omar (BN-Tanjong Karang) yang mahu tahu tindakan kerajaan dalam menyekat pemilik Facebook yang didapati menghina agama, bangsa dan negara.
Noh merujuk status Facebook seorang rakyat negara ini yang disifatkan biadab dan mengeluarkan kata-kata kesat serta memaki Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan UMNO.
Terbaru, pendedahan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay yang menyifatkan usaha merekrut gadis Malaysia menyertai kumpulan militan di negara bergolak Syria yang kononnya atas dasar jihad, semakin agresif apabila ia turut dikesan cuba merekrut pelajar sekolah melalui Facebook.
Tambah Ahmad Shabery, cadangan mengharamkan terus Facebook juga dilihat masih tidak praktikal dan bukan pilihan yang baik untuk negara.
Jelasnya, sebanyak lebih 2,000 aduan mengenai penyalahgunaan Facebook di negara ini turut dilihat masih rendah dengan pengguna yang melebihi 15 juta akaun.
"Kita juga tidak dapat mengesan beberapa akaun yang menggunakan kesamaran (anonymous).
"Sepanjang 2013, sebanyak 14 kes melibatkan kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia selain 11 kes sehingga sekarang untuk tahun ini," ujarnya.
Ahmad Shabery turut memberitahu kesukaran untuk pihak berkuasa dalam negara mengenakan tindakan kepada pesalah yang lari ke luar negara kerana undang-undang yang tidak terpakai di sana.
Terdahulu, Ahmad Shabery menjawab soalan asal Noh mengenai langkah kerajaan dalam isu kebebasan media yang telah dicabuli dengan tersebarnya perkara-perkara dan maklumat yang melangkaui batas sosial seseorang.
Katanya, kepercayaan pengaliran maklumat di dalam media sosial sendiri perlu berlandaskan undang-undang sedia ada.
"Kita percaya kepada prinsip kebebasan namun kena berpegang kepada undang-undang," jelasnya.
Tambahnya, sebanyak 1,225 aduan berkaitan penyalahgunaan media sosial turut disifatkan rendah berbanding seramai 19.2 juta pengguna internet di negara ini.
"Ia hanya 0.006 daripada keseluruhan pengguna internet di Malaysia.
"Bagaimanapun, kita sudah mengambil tindakan dan minta penyedia khidmat menutup laman tertentu. Sehingga Ogos, sebanyak 1,400 laman sudah ditutup dan diambil tindakan," jelasnya.-Awani
Malaysia Tidak Ada Kuasa Sekat FB
Reviewed by Unknown
on
October 14, 2014
Rating:
No comments: