KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) -- Polis tidak menerima sebarang permohonan daripada mana-mana pihak untuk menganjurkan perhimpunan membantah kenaikan harga petrol yang dirancang diadakan di Dataran Merdeka, di sini, 4 petang Sabtu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Rasdi Ramli berkata pihaknya juga tidak mengetaui siapa penganjur sebenar untuk perhimpunan itu.
"Tiada sebarang permohonan dibuat oleh mana-mana pihak untuk menganjurkan perhimpunan itu seperti yang tertakluk di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.
"Bagaimanapun polis sentiasa dalam keadaan bersiap-sedia dan memantau keadaan di sekitar Dataran Merdeka sekiranya perhimpunan itu berlangsung," katanya ketika dihubungi BERNAMA.
Justeru beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menyertai perhimpunan itu.
Tinjauan BERNAMA sekitar Dataran Merdeka mendapati tiada kelihatan peserta perhimpunan dan keadaan di kawasan tersebut seperti biasa dan dikawal rapi anggota polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Rabu lepas, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mengumumkan kenaikkan harga petrol RON 95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter, menjadikan harga runcit baharu bagi RON 95, RM2.30 manakala diesel RM2.20.--BERNAMA
No comments: