KUALA LUMPUR: Kapten pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT), Aidil Zafuan Abdul Razak sah terlepas peluang beraksi dalam final Piala Malaysia, Sabtu ini.
Ini berikutan keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menolak rayuan JDT untuk menarik balik kad kuning kedua ke atas pemain berkenaan .
Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan bahawa kad kuning pertama dan kedua yang diterima Aidil pada dua aksi separuh akhir menentang FELDA United FC, tidak akan ditarik balik.
Katanya, Jawatankuasa Pertandingan Tempatan dan Jawatankuasa Pengadil mengesahkan kad kuning yang diterima Aidil adalah tepat selepas membuat penilaian penuh terhadap video insiden terbabit.
"Selepas menilai video yang diserahkan oleh pihak JDT, kami berpendapat keputusan pengadil melayangkan kad kuning kepada Aidil adalah munasabah," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat jawatankuasa keselamatan perlawanan akhir Piala Malaysia di sini, hari ini.
Aidil menerima kad kuning pertama ketika JDT tewas 3-4 kepada FELDA United pada perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Selayang dan menerima kad kuning keduanya pada separuh akhir kedua di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin.
JDT akan menentang Pahang pada final Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Dalam pada itu, Hamidin menyarankan penyokong pasukan JDT dan Pahang hadir seawal 2 petang pada Sabtu ini bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.
Katanya lebih 90,000 penyokong dari kedua-dua pasukan akan membanjiri stadium itu nanti.
"Lebih 2,000 anggota keselamatan akan ditempatkan di sekitar stadium pada hari tersebut. Kita jangka 500 bas daripada kedua-dua negeri akan membawa penonton menyaksikan perlawanan itu.
"Rapid KL akan melanjutkan tempoh perkhidmatan mereka sehingga penyokong meninggalkan stadium selepas perlawanan itu nanti.
"Bagi yang memandu kenderaan sendiri nanti disarankan supaya tiba awal untuk mendapatkan tempat letak kereta berhampiran dengan stadium," katanya. - BERNAMA
Rayuan JDT Mohon Aidil Dibebaskan Hukuman Ditolak FAM
Reviewed by Unknown
on
October 30, 2014
Rating:
No comments: