KUCHING: Menteri Perumahan Sarawak, Datuk Abang Johari Tun Openg berkata kajian akan dilakukan berhubung kesan rasionalisasi subsidi bahan api berkuat kuasa 2 Oktober lalu terhadap sektor perumahan negeri.
Beliau berkata sudah pasti akan berlaku peningkatan dari segi kos dalam sektor perumahan, namun berkeyakinan kerajaan sudah mempunyai mekanisme untuk mengawal perkara itu.
"Kita akan pantau kesan pengurangan subsidi itu, sudah pasti akan ada impak ... tetapi saya pasti kerajaan juga mempunyai mekanisme tertentu dalam usaha mengawal implikasi kesan pengurangan subsidi tersebut," katanya.
Katanya keputusan kerajaan mengurangkan subsidi bagi petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen sekali gus memberi penjimatan kepada perbelanjaan negara, dan hasilnya kerajaan akan guna penjimatan itu untuk membantu rakyat berpendapatan rendah.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Perkampungan Prinsip Perakaunan SPM dan Bengkel Kerjaya 2014 anjuran Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas), di sini hari ini.
Sementara itu, Abang Johari yang juga Menteri Pelancongan Sarawak yakin pembentangan Bajet 2015 Jumaat ini akan memberi banyak manfaat kepada rakyat, sambil mengharapkan Sarawak dan Sabah menerima peruntukan lebih khususnya untuk pembangunan luar bandar yang masih memerlukan kemudahan bekalan air, elektrik dan jalan raya yang setanding kemudahan di Semenanjung.
"Jadi kita harap dengan adanya penjimatan (hasil rasionalisasi bahan api), bajet lebih diberikan kepada Sarawak dan Sabah. Saya juga berharap akan ada pengumuman baik kepada sektor perumahan kerana ketika ini harga rumah naik mendadak.
"Kita mahu masyarakat pertengahan dan berpendapatan rendah boleh beli rumah kerana jika tidak, ini bakal memberi masalah kepada kerajaan kerana ketika ini semua orang seperti graduan dan pasangan baru berkahwin ingin membeli rumah," katanya.
Menurutnya jika golongan berpendapatan sederhana dan rendah tidak mampu membeli rumah ini juga bererti pembangunan yang sedang dilaksanakan kerajaan tidak sampai kepada golongan sasar. - BERNAMA
Sarawak Kaji Kesan Rasionalisasi Subsidi Terhadap Sektor Perumahan
Reviewed by Unknown
on
October 04, 2014
Rating:
No comments: