KUCHING: Walaupun merupakan negeri terbesar selain mempunyai populasi yang ramai, Sarawak masih jauh ketinggalan dari segi pembangunan infrastruktur berbanding negeri-negeri di Semenanjung.
Justeru, Menteri Kemudahan Awam Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berharap agar Belanjawan 2015 yang diumumkan hari ini akan menyaksikan lebih banyak peruntukan disalurkan kepada negeri ini.
“Saya berharap lebih banyak peruntukan diberikan kepada Sarawak untuk pembangunan infrastruktur dan juga kemudahan lain supaya kita dapat mencapai pembangunan sejajar dengan negeri-negeri lain.
“Dengan itu, ia juga akan dapat meningkatkan ekonomi negeri terutama di luar bandar,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Empangan Bengoh, Jalan Puncak Borneo dekat sini, semalam.
Menurut Awang Tengah yang juga Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, masih banyak pembangunan infrastruktur yang perlu ditingkatkan di Sarawak.
Antaranya, jelas beliau, ialah bekalan air dan elektrik, jalan raya di luar bandar, hospital, klinik, sekolah serta sektor komunikasi.
“Kita adalah negeri yang terbesar dan juga mempunyai populasi penduduk yang ramai tetapi di dalam beberapa aspek, kita masih ketinggalan terutama dari segi pembangunan infrastruktur.
“Ini sangat perlu serta penting bagi kita dan saya harap Belanjawan 2015 nanti akan memberi keutamaan kepada negeri kita,” katanya. - UB
Sarawak Perlu Lebih Banyak Peruntukan Pembangunan Infrastruktur
Reviewed by JANUARIUS
on
October 10, 2014
Rating:
No comments: