KUCHING: Kerajaan negeri mempertimbang mewujudkan kaunter bersepadu
yang menyediakan pelbagai perkhidmatan ditawarkan oleh semua agensi serta
jabatan kerajaan di negeri ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi
Abdul Ghani berkata ia antara proses penambahbaikan kepada sistem pengurusan
keperluan pelanggan sedia ada.
“Kita sedang mempertimbang untuk melaksanakan konsep kaunter yang
memberi perkhidmatan-perkhidmatan ditawarkan semua agensi serta jabatan
kerajaan.
“Dengan kata lain, kaunter seperti MBKS, DBKU, SESCO dan
sebagainya tidak lagi dibuka secara berasingan tetapi hanya satu kaunter yang
menawarkan perkhidmatan-perkhidmatan di bawah agensi-agensi ini,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan pada
Persidangan Sektor Awam Sarawak 2014 di sini semalam.
Majlis itu dirasmikan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali
Hamsa.
Tambahnya penubuhan kaunter bersepadu itu akan memperkukuhkan lagi
inisiatif pengurusan keperluan pelanggan sedia ada seperti SCS Talikhidmat Apps
yang diperkenalkan pada Oktober tahun ini.
Beliau berkata talikhidmat itu merupakan aplikasi Apps bergerak
pertama untuk orang awam memberi maklum balas terhadap perkhidmatan ditawarkan
dengan pantas, mudah dan di mana sahaja.
“Masalah, rungutan dan keperluan rakyat mesti diurus serta
diselesaikan dengan berkesan jika tidak sektor awam negeri akan gagal mencapai
objektif iaitu menyediakan perkhidmatan bertaraf dunia selain merakyatkan
sektor awam,” ujarnya.
Persidangan sehari itu membawa tema ‘Penjawat Awam Kompeten
Tonggak Perkhidmatan Awam’ yang menekankan enam nilai utama iaitu Integriti,
Baik Hati & Penyayang, Sikap Kesegeraan & Sepunya, Profesionalisme,
Semangat Berpasukan dan Berorientasikan Hasil.
Sepanjang persidangan, empat kertas kerja dibentangkan antaranya
‘Transformasi Kepimpinan-Enam Nilai Penting’ oleh Profesor Emeritus Akira
Nakamura daripada Meiji University, Jepun dan ‘Menggalakkan Inovasi Untuk
Memacu Transformasi Sektor Awam’ oleh Pengarah UNDP, Global Center for Public
Service Excellence, Singapore Mas Everest-Philip.
Kaunter Bersepadu Pelbagai Perkhidmatan Dipertimbang
Reviewed by JANUARIUS
on
November 26, 2014
Rating:
No comments: