Seo Services

Tauke Syabu, Pil Kuda Tumpas


KOTA BHARU - Taktik ketua sindiket bertaraf King Pin bergelar Abe K berselindung di sebalik perniagaan tayar dan kereta terpakai terbongkar, selepas ditahan bersama empat yang lain dalam serbuan di Pasir Mas dan Rantau Panjang, kelmarin.

Ketua sindiket berusia 31 tahun itu ditahan bersama satu kilogram dadah jenis syabu dan 200 gram pil kuda, hasil maklumat awam dalam operasi dilakukan oleh Unit Task Force Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini.

Ketua Polis negeri, Datuk Mazlan Lazim berkata, dalam serbuan pertama, sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK menahan sebuah kereta jenis Proton Wira bernombor pendaftaran DAW 4711 di lampu isyarat Lubok Jong, Pasir Mas, pada jam 3.30 pagi.

Katanya, hasil pemeriksaan di dalam kereta dipandu lelaki yang berasal dari Jerteh, Terengganu itu, menjumpai satu bungkusan plastik mengandungi sembilan paket plastik berwarna biru berisi pil kuda.

“Di dalam plastik tersebut terdapat 1,780 pil kuda berwarna kemerahan dan 18 pil kuda berwarna kehijauan, dianggarkan seberat 200 gram dengan nilai RM44,500. Turut dirampas wang tunai berjumlah RM1,500 dipercayai hasil jualan dadah.

“Kumpulan ini aktif sejak dua bulan lalu dan berurus niaga dadah di negeri Pantai Timur. Ketika ditahan, suspek dipercayai dalam perjalanan menghantar bekalan kepada seorang pembeli dari Pahang,” katanya pada sidang media di IPK, di sini, semalam.

Lanjutan daripada penahanan suspek, pasukan sama menyerbu ke sebuah rumah di Taman Desa Tasmin, Gual Nering, Rantau Panjang, pada jam 5.10 pagi.

“Empat orang termasuk seorang lelaki warga Thailand berusia 49 tahun ditahan. Lelaki tersebut dikatakan mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan Abe K dan diakui sebagai adik angkat, manakala tiga lagi, seorang wanita berusia 52 tahun bersama anaknya berusia 16 tahun dan seorang lagi lelaki tempatan berusia 28 tahun.

“Hasil soal siasat menemui satu kotak mengandungi bungkusan aluminium berisi ketulan kristal dipercayai dadah jenis syabu dengan anggaran seberat satu kilogram bernilai RM300,000. Turut dirampas wang tunai RM2,300 dan lima kereta dengan jumlah keseluruhan rampasan berjumlah RM344,500,” katanya.

Mazlan berkata, semua suspek dikenakan perintah tahan reman sehingga 2 Disember depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit bersalah. - Sinar Harian
Tauke Syabu, Pil Kuda Tumpas Tauke Syabu, Pil Kuda Tumpas Reviewed by uMieySurianie on November 27, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.