SIBU: Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan
Negara (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Thye menyambut baik usaha kerajaan negeri
menubuhkan jawatankuasa siasatan insiden letupan lombong arang batu Selantik
yang meragut empat nyawa pekerja asing.
Dalam laporan akhbar baru-baru ini, Menteri Muda Kesihatan Awam
Datuk Dr Jerip Susil memberitahu, ahli jawatankuasa itu merangkumi wakil agensi
kerajaan negeri dan persekutuan yang akan memberi fokus terhadap kejadian
letupan lombong arang batu itu.
Jawatankuasa siasatan tersebut telah melibatkan Kementerian Sumber
Manusia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan
Pekerja, Jabatan Kesihatan dan lain-lain agensi kerajaan berkaitan .
“Sebagai Pengerusi NIOSH, saya amat mengalu-alukan usaha kerajaan
negeri untuk menubuhkan jawatankuasa siasatan bagi menyiasat dan mengenal pasti
punca kemalangan. Kita berharap laporan siasatan dapat didedahkan kepada orang
ramai selepas siasatan selesai,” katanya.
Ketika ditemui pemberita di Sibu semalam, Lee turut mencadangkan
kepada pihak yang terlibat dalam industri lombong arang batu dapat mengamal Kod
Amalan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) bagi mengurangkan risiko kemalangan
dan letupan di lombong arang batu.
“ILO telah memperkenalkan Kod Amalan berkaitan dengan peraturan
keselamatan untuk kerja-kerja di lombong arang batu untuk memastikan keadaan
persekitaran pekerja yang selamat di samping mengambilkira langkah-langkah
pencegahan kemalangan di lombong arang batu,” ujarnya.
Oleh itu, Lee menegaskan setiap pekerja lombong arang batu perlu
dididik bagi meningkatkan kesedaran terhadap semua jenis situasi serta
kaedah terbaik menguruskan risiko semasa bekerja di lombong arang batu.
“Pekerja lombong arang batu perlu ditawar latihan keselamatan
terhadap bahaya yang bakal mereka hadapi ketika bertugas. Ia merangkumi aspek
letupan gas, kebakaran dan sebagainya. Mereka juga perlu diberi maklumat dan
dimaklumkan mengenai risiko kesihatan dan keselamatan,” tegasnya.
Dalam kejadian 22 November lepas, insiden letupan lombong arang
batu di Selantik, Pantu dekat Sri Aman telah mengorbankan empat nyawa pekerja
iaitu rakyat Korea Utara, Pang Chung Hyok, 29; Tun Tun Win dari Myanmar, 36;
Kardianto dari Indonesia, 38 dan Ahmad Zidin dari Jawa Tengah, Indonesia.
- UB
Dedah Hasil Laporan Siasatan Kepada Umum
Reviewed by MRJ | Mr. Januarius Tomek
on
December 05, 2014
Rating:

No comments: