KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.25 peratus, walaupun ekonomi global terus berkembang pada kadar yang sederhana dan perbezaan momentum pertumbuhan dalam kalangan ekonomi utama semakin meningkat.
Mengikut BNM dalam kenyataan selepas mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) hari ini, pada kadar semasa, pendirian dasar monetari kekal akomodatif dan adalah wajar mengikut penilaian berdasarkan perkembangan keadaan monetari dan kewangan.
"MPC akan terus membuat penilaian yang teliti mengenai perkembangan luaran dan implikasinya terhadap ekonomi Malaysia. MPC juga akan terus memantau risiko ketidakseimbangan kewangan. Ini bagi memastikan pendirian dasar monetari adalah sejajar dengan prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mapan," kata BNM.
BNM berkata, bagi kebanyakan ekonomi Asia, pertumbuhan disokong oleh pengembangan permintaan dalam negeri dan luar negeri yang berterusan. Walaupun impak berbeza-beza daripada harga minyak yang ketara lebih rendah terhadap sesebuah ekonomi, ekonomi global secara keseluruhan dijangka mendapat manfaat daripada perkembangan itu.
Namun demikian, risiko prospek ekonomi global menjadi semakin perlahan sudah meningkat berikutan momentum pertumbuhan yang lebih lemah di beberapa ekonomi utama disebabkan faktor luaran dan faktor khusus dalam negeri.
Ketidaktentuan dalam pasaran kewangan antarabangsa telah meningkat dalam keadaan peralihan mudah tunai global serta ketidakpastian yang lebih ketara terutama berhubung dengan prospek pertumbuhan global dan penurunan harga komoditi.
Walaupun pasaran kewangan Malaysia sudah menerima kesan daripada perkembangan global ini, pengantaraan kewangan tidak mengalami sebarang gangguan.
"Mudah tunai dalam sistem kewangan domestik kekal lebih daripada mencukupi dengan pasaran kewangan terus berfungsi dengan teratur. Institusi perbankan beroperasi dengan penampan modal dan mudah tunai yang kukuh, dan terus menyediakan pembiayaan kepada ekonomi," kata BNM.
Bagi Malaysia, aktiviti ekonomi terus disokong oleh pertumbuhan permintaan dalam negeri dalam keadaan eksport yang sederhana pada suku keempat 2014. Pada masa hadapan, permintaan dalam negeri dijangka kekal sebagai pemacu pertumbuhan yang utama.
Walaupun penggunaan swasta dijangka menjadi sederhana, ia akan terus disokong oleh peningkatan pendapatan dan guna tenaga yang stabil, serta pendapatan boleh guna tambahan daripada harga minyak yang lebih rendah.
Aktiviti pelaburan dijangka kekal berdaya tahan, dengan perbelanjaan modal yang menyeluruh oleh sektor swasta dan awam mengimbangi penurunan dalam aktiviti pelaburan dalam sektor berkaitan minyak dan gas.
Walaupun pertumbuhan eksport dijangka terjejas oleh harga komoditi yang lebih rendah, prestasi eksport perkilangan dijangka bertambah baik. Oleh itu, prospek ekonomi Malaysia diunjurkan masih kekal pada landasan pertumbuhan yang stabil.
Inflasi bagi tahun 2015 dijangka lebih rendah berbanding jangkaan awal disebabkan oleh harga tenaga dan komoditi yang lebih rendah. Harga tenaga yang diunjurkan lebih rendah ini akan diimbangi sebahagiannya oleh faktor kos domestik lain.
Dengan pelaksanaan mekanisme penentuan harga apungan terurus untuk bahan api, prospek inflasi akan dipengaruhi oleh turun naik harga minyak. Walau bagaimanapun, inflasi asas dijangka secara relatif kekal stabil, dalam keadaan permintaan yang lebih sederhana. -BH
Bank Negara Kekalkan Kadar Faedah Pada 3.25 Peratus
Reviewed by Unknown
on
January 28, 2015
Rating:
No comments: