KUALA LUMPUR: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bercadang untuk memperluaskan penggunaan khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk memberi amaran awal kemungkinan berlakunya banjir kepada penduduk terutamanya di negeri-negeri pantai timur di masa akan datang.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Sumber Air dan Hidrologi JPS Sazali Osman berkata bagaimanapun kajian dan analisis terperinci perlu dilaksanakan terlebih dahulu sebelum kaedah itu diperkenalkan.
Beliau berkata kaedah SMS itu antara perancangan JPS untuk meningkatkan sistem amaran awal banjir berikutan keberkesanan sistem berkenaan yang dibangunkan JPS pada 2006 untuk penduduk di kawasan sekitar TTDI Jaya, Shah Alam.
"Sistem SMS Banjir di kawasan TTDI Jaya, Shah Alam ini berfungsi secara automatik dan memberikan amaran awal kemungkinan berlakunya banjir, berdasarkan kepada jumlah hujan yang direkod di kawasan hulu Sungai Damansara dan juga mengambil kira bacaan aras air di sungai berkenaan.
"Sekiranya hujan lebat dicerap di stesen hujan tersebut melebihi nilai yang ditetapkan, amaran awal banjir melalui SMS akan dihantar kepada penduduk di sekitar kawasan itu. Seterusnya, jika aras air melebihi aras waspada dan bahaya, SMS Banjir akan dihantar sekali lagi kepada pengguna tersebut," katanya.
Sazali berkata JPS bercadang untuk menamatkan perkhidmatan tersebut memandangkan kekerapan kejadian banjir kilat di kawasan itu berkurangan setelah beberapa projek tebatan banjir dilaksanakan di Sungai Damansara.
Selain itu, JPS juga merancang untuk meningkatkan sistem amaran awal banjir terutamanya di negeri-negeri pantai timur dengan menambah stesen-stesen pemantauan dan amaran awal banjir seperti stesen aras air, stesen hujan dan stesen siren. - RTM
JPS Cadang Guna SMS Beri Amaran Awal Banjir Di Pantai Timur
Reviewed by Salfian Nawawi
on
January 16, 2015
Rating:
No comments: