Seo Services

Banjir semakin pulih di Sarawak

KUCHING: Keadaan banjir di Sarawak semakin pulih tengah hari ini berdasarkan jumlah mangsa di pusat pemindahan yang berkurangan kepada 151 orang berbanding 213 pagi ini.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sarawak ketika dihubungi berkata semua pusat pemindahan banjir di bahagian Sibu ditutup 10 pagi ini, menjadikan kini hanya terdapat dua pusat pemindahan di bahagian Betong.

Beliau berkata, pusat pemindahan banjir di Dewan Panglima Rentap Betong kini menempatkan 97 mangsa, manakala pusat pemindahan banjir di Klinik Kesihatan Nanga Budu di Saratok, kira-kira 100 km dari bandar Betong, kini menempatkan 54 mangsa.

Katanya, banjir di kedua-dua tempat itu sebenarnya sudah semakin pulih dan pusat pemindahan berkenaan ketika ini menempatkan mangsa yang masih tidak dapat pulang kerana rumah panjang mereka masih diperiksa oleh pihak teknikal, bagi memastikan ia selamat diduduki selepas berlaku banyak kerosakan akibat banjir.

Menurutnya, dua rumah panjang yang terbabit ialah Rh Ali Krangan di Saratok, dan Rh Mupoh Baruh di Betong.

Jurucakap itu berkata, pejabat Residen di kawasan berkenaan akan bermesyuarat petang ini untuk meninjau keadaan rumah panjang itu, dan jika didapati tidak dapat diduduki lagi, mereka mungkin perlu menyediakan penempatan sementara yang baharu untuk penghuni terbabit.

Sementara itu, katanya lapan sekolah yang masih ditutup ketika ini terletak di zon tengah Sarawak terdiri daripada empat sekolah di Selangau, dua di Sibu dan masing-masing satu di Dalat dan Mukah. - BERNAMA
Banjir semakin pulih di Sarawak Banjir semakin pulih di Sarawak Reviewed by Admin on February 05, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.