KUCHING: Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya tidak memandang remeh aspek integriti yang ditekankan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.
Ini kerana menurut Ketua Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri Abdullah Saidol aspek integriti merupakan salah satu kriteria yang akan diambil kira dalam soal pemilihan calon BN.
Jika integriti tercalar serta menjejaskan imej kerajaan negeri dan BN amnya, maka jangan bermimpi untuk dicalonkan pada Pilihan Raya Negeri akan datang.
“Ikrar integriti yang ditandatangani hari ini (semalam) bukan sahaja berkaitan soal rasuah tetapi juga amalan politik yang jujur serta ikhlas.
“Pesan Ketua Menteri tidak guna memegang pangkat Yang Berhormat (YB) jika nilai integriti tidak ada.
“Contohnya, tidak salah jika YB mengabaikan isu pembalakan haram tetapi sikap ini adalah tidak berintegriti seperti yang sering dikatakan oleh Ketua Menteri, ada mata buta, ada telinga bengal dan ada mulut bisu,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Ikrar Integriti melibatkan 30 setiausaha politik dan 26 wakil rakyat Kelab Penyokong BN (BNBBC) di Dewan Undangan Negeri di sini semalam.
Mengulas mengenai majlis itu, Abdullah yang juga pengerusi BNBBC dan ADUN Semop berkata ia sebagai sokongan kepada inisiatif yang sama oleh Ketua Menteri melibatkan barisan kabinet negeri.
Secara peribadi menurut Abdullah cabaran utama wakil rakyat kini adalah untuk mendapatkan kepercayaan daripada rakyat.
Walau segigih mana usaha yang diambil namun ia masih belum mencukupi untuk mendapatkan semula kepercayaan rakyat terhadap usaha kerajaan.
“Jangan sibuk untuk meraih undi jika kita sebagai wakil rakyat tidak mendapat kepercayaan rakyat.
“Jika integriti tercalar maka jangan bermimpi untuk dicalonkan pada Pilihan Raya Negeri akan datang kerana aspek integriti adalah salah satu kriteria yang dimahukan oleh Ketua Menteri kita,” jelasnya. - UB
Aspek Integriti Kriteria Pada Seorang Calon BN
Reviewed by Salfian Nawawi
on
April 07, 2015
Rating:
No comments: