Seo Services

POTA: Dewan Bahas Hingga Awal Pagi, Lulus Selepas Sembilan Kali Undian


KUALA LUMPUR: Ahli-ahli parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang ‘bertekak’ panjang ketika Rang Undang-undang (RUU) Pencegahan Keganasan 2015 atau POTA dibahaskan di Dewan Rakyat mulai pagi Isnin dan hanya selesai jam 2 pagi Selasa.

Pada awalnya perbahasan lancar dengan 18 wakil rakyat membahaskan RUU berkenaan selepas bacaan kali kedua oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tunku Jaafar.

Ketegangan mula timbul selepas ahli-ahli parlimen pembangkang kalah dalam undian belah bahagi usul di bawah Peraturan 54(2) untuk merujuk RUU itu kepada Jawatankuasa Pilihan Parlimen bagi membolehkan ia ditangguh untuk pindaan, kira-kira jam 9 malam.

potaSelepas kalah dengan undi 64-80 kepada penyokong kerajaan, ahli-ahli parlimen pembangkang silih berganti memohon pindaan terhadap fasal RUU tersebut sehingga menyebabkan beberapa belah bahagi mengikut Peraturan 46 (4) ketika perbahasan peringkat jawatankuasa .

Pada setiap usul pindaan, berlaku pertikaman lidah antara pembangkang dengan ahli-ahli parlimen BN.

Antara yang bangun bertikam lidah Ahli Parlimen Tanjung Karang Datuk Seri Noh Omar dan Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Rahim manakala pembangkang pula Ahli Parlimen PAS Shah Alam Khalid Samad dan Sepang Hanipa Maidin.

Pembangkang menentang dan mohon pindaan fasal pada RUU itu atas dakwaan kononnya akta itu berniat jahat dan zalim.

Sebelum perbahasan diteruskan selepas 12 tengah malam, berlaku tiga belah bahagi bagi menolak pindaan fasal yang dikemukakan pembangkang.

Belah bahagi diadakan selepas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjawab setiap persoalan berhubung pindaan yang dibangkitkan pembangkang.

BN yang menentang serta menolak pindaan usul-usul tersebut menang dengan 80 -61 undi, 81 -59 undi dan 80-59 undi pada belah bahagi berkenaan.

Perbahasan peringkat jawatankuasa itu berlarutan sehingga 2 pagi walaupun jangkaan awal RUU POTA selesai jam 9.30 malam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim sebelum itu terpaksa mengemukakan usul pada jam 12 tengah malam memohon supaya perbahasan diteruskan sehingga usul berkenaan selesai.

Belah bahagi ke lima usul itu pada jam 12.10 menyaksikan ahli parlimen BN menang dengan 81-54 undi manakala belah bahagi jam 1.20 pagi, BN juga menang 80-58 undi.

Perbahasan berterusan dan diikuti belah bahagi ke 7 jam 2 pagi dan ahli-ahli parlimen BN sekali lagi berjaya menolak usul pindaan dengan 79-60 undi.

Pembangkang sekali lagi menuntut belah bahagi ketika usul RUU itu hendak dibawa ke peringkat dasar selepas perbahasan peringkat jawatankuasa – sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Keputusan undian jam 2.15 pagi itu kekal BN 79 dan pembangkang 60 undi.

RUU yang mencetuskan kontroversi itu kemudian lulus tanpa pindaan selepas berdepan rali panjang dengan undian terakhir setelah selesai bacaan kali ketiga dengan 79 undi menyokong -60 undi menolak oleh pembangkang ketika Dewan di pengerusikan Timbalan Speaker Datuk Ismail Mohad Saidj jam 2.25 pagi. - BNBBC
POTA: Dewan Bahas Hingga Awal Pagi, Lulus Selepas Sembilan Kali Undian POTA: Dewan Bahas Hingga Awal Pagi, Lulus Selepas Sembilan Kali Undian Reviewed by Salfian Nawawi on April 07, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.