Seo Services

Dewan Rakyat Lulus Sosma Tanpa Pindaan


KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas)(Pindaan) 2015 diluluskan oleh Dewan Rakyat pada Rabu.

Walaupun lulus tanpa pindaan, rang undang-undang itu tidak melalui jalan mudah apabila ia dibahaskan panjang lebar oleh beberapa anggota Parlimen, khususnya dari blok pembangkang, termasuk membawa usul untuk merujuk pindaan akta itu ke jawatankuasa pilihan bagi diteliti semula.

Mereka juga mengemukakan usul untuk meminda rang undang-undang itu khususnya seksyen baru 18A mengenai penyataan tertuduh dan 18B mengenai untuk membolehkan komunikasi suami atau isteri diterima sebagai keterangan di mahkamah.

Antara yang membahaskan rang undang-undang itu ialah Gobind Singh Deo (DAP-Puchong), Mohamed Hanipa Maidin (PAS-Sepang), Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan), Khalid Abd Samad (PAS-Shah Alam), Che Mohamad Zulkifly Jusoh (BN-Setiu) dan Ramkarpal Singh (DAP-Bukit Gelugor).

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika menggulung perbahasan itu menjelaskan peruntukan di bawah seksyen 18B adalah khusus bagi menangani isu keganasan dan bukan ditujukan kepada masyarakat keseluruhan.

"Di bawah pindaan ini dibenarkan komunikasi suami isteri (dijadikan keterangan) khusus untuk tangani masalah keganasan yang mengancam negara," katanya menolak andaian beberapa anggota Parlimen bahawa peruntukan itu akan mengancam institusi perkahwinan.

Katanya, pindaan itu dicadangkan berdasarkan pendakwaan di bawah Sosma - Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) - dalam kes membabitkan insiden Lahad Datu di mana seorang isteri yang bersetuju memberi keterangan bagi kes keganasan melibatkan suaminya tidak dibenarkan berbuat demikian.

Ini kerana berdasarkan Akta Keterangan, komunikasi antara suami dan isteri adalah dilindungi dan tidak boleh dijadikan keterangan di mahkamah.

Berhubung seksyen 18A, Wan Junaidi berpendapat hujah-hujah yang dikemukakan oleh anggota Parlimen adalah berdasar kepada tafsiran masing-masing, tetapi dalam sesuatu undang-undang, tafsiran akhir oleh hakim adalah yang paling relevan.

Beberapa anggota Parlimen pembangkang sebelum itu menyuarakan rasa khuatir terhadap Seksyen 18A kerana dikatakan boleh menyebabkan hak seseorang tertuduh untuk mendapatkan perbicaraan yang adil diketepikan.

Seksyen 18A menyatakan bahawa pernyataan seseorang tertuduh sama ada secara lisan atau bertulis kepada mana-mana orang pada bila-bila masa hendaklah boleh diterima sebagai keterangan.

Pindaan Sosma bertujuan memperkasakan Akta Pencegahan Keganasan (Pota) 2015 dan beberapa pindaan selari terhadap lima undang-undang lain.

Ia juga bertujuan untuk memperluaskan pemakaian Akta ini termasuklah dengan memasukkan Akta Langkah-Langkah Khas Menentang Keganasan di Luar Negara 2015 di dalam jadual pertama akta ini. - mStar
Dewan Rakyat Lulus Sosma Tanpa Pindaan Dewan Rakyat Lulus Sosma Tanpa Pindaan Reviewed by Salfian Nawawi on April 09, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.