SIBU: Rondaan pasukan polis D4 di Jalan Kampung Hilir di sini malam kelmarin berbaloi apabila mereka menahan seorang lelaki disyaki terbabit dalam kes pecah kereta milik bekas calon BN Pilihan Raya Kecil (PRK) Sibu pada 2010.
Pasukan polis menjalankan operasi rondaan sekitar jam 8 malam terserempak dengan sekumpulan tiga lelaki bersama dua motosikal.
Tiba-tiba, dua lelaki terbabit bertindak melarikan diri manakala seorang daripada mereka tidak sempat berbuat apa-apa.
Polis cuba mengejar dua lelaki terbabit namun mereka lebih licik melarikan diri di celah-celah rumah penduduk kampung.
Polis menjalankan pemeriksaan ke atas seorang rakan mereka yang berumur 29 tahun dan menjumpai satu beg komputer riba yang mengandungi pelbagai dokumen.
Pemeriksaan lanjut polis berjaya menemui sekeping kad nama dimiliki bekas calon BN tersebut yang menimbulkan kecurigaan terhadap lelaki terbabit.
Ketika soal siasat, lelaki itu tiba-tiba cuba melarikan diri daripada diberkas polis.
Bagaimanapun, lelaki itu berjaya ditahan semula di kawasan semak berdekatan sejurus selepas aksi kejar-mengejar antara suspek dan polis.
Polis juga mendapati dompet milik suspek mengandungi kad pengenalan dimiliki salah seorang yang melarikan diri sebelum itu.
Siasatan lanjut mendapati rakan suspek disyaki terlibat dalam kes pecah kereta di bandar ini beberapa hari lalu.
Polis kemudian bertindak menghubungi bekas calon BN terbabit sejurus selepas itu dan mendapati beliau sedang bermesyuarat di sebuah premis di Jalan Brooke Drive di sini pada masa itu.
Apabila ditanya sama ada beliau ada kehilangan satu beg komputer riba, beliau terus menuju ke keretanya dan mendapati salah satu cermin keretanya pecah.
Bekas calon BN tersebut mengesahkan beliau kehilangan beg mengandungi dokumen penting.
Polis D4 kemudian membawa suspek ke balai dan merampas dua motosikal untuk tindakan lanjut.
Bekas calon BN itu juga sempat mengucapkan syabas kepada pasukan polis kerana menjalankan tugas mereka dengan cekap sehingga tertangkapnya suspek terbabit.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Mohd Kamal Kordi mengesahkan kes tersebut ketika dihubungi petang semalam. - UB
Polis Berkas Suspek Kes Pecah Kereta Bekas Calon BN
Reviewed by Salfian Nawawi
on
April 08, 2015
Rating:
No comments: