KUALA LUMPUR: Insiden nahas udara melibatkan helikopter dan pesawat ringan yang membawa orang kenamaan (VIP) di negara ini boleh dijejaki seawal tahun 1976.
Nahas paling menggemparkan berlaku pada 1976 apabila Ketua Menteri Sabah, Tun Fuad Stephens bersama 10 yang lain termasuk menteri kabinet negeri terkorban setelah pesawat Nomad milik Sabah Air yang mereka naiki terhempas kira-kira 2 kilometer dari landasan Lapangan Terbang Kota Kinabalu.
Dilaporkan, saksi kejadian mendengar dentuman di udara sebelum kapal terbang itu terhempas di perairan cetek Sembulan, hanya beberapa meter dari perumahan atas air, mengorbankan Fuad, menteri kabinetnya Datuk Peter Mojuntin, Datuk Salleh Sulong dan lapan yang lain.
Terbaharu, nahas udara membabitkan helikopter telah meragut nyawa Ahli Parlimen Rompin yang juga Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dan Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri Datuk Azlin Alias serta empat yang lain.
Kejadian pada 4.55 petang semalam itu berlaku apabila helikopter AS3655N2 Dauphin (9M-1GB) itu terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih.
Berikut antara nahas pesawat udara melibatkan VIP negara ini sejak 1976:-
* 6 Jun 1976 – Ketua Menteri Sabah, Tun Fuad Stephens dan 10 yang lain terkorban termasuk menteri kabinet apabila pesawat jenis Nomad buatan Australia milik Sabah Air, terhempas kira kira 2 kilometer dari landasan Lapangan Terbang Kota Kinabalu, jam 3.50 petang.
Kejadian yang menggemparkan negara dan dunia itu berlaku ketika pesawat itu hendak mendarat di Kota Kinabalu dari Labuan.
Sepuluh yang lain terbunuh dalam nahas itu ialah:
1. Menteri Kerajaan Tempatan Sabah, Datuk Peter Mojuntin
2. Menteri Perhubungan dan Kerjaraya Sabah, Datuk Chong Tahin Vun
3. Menteri Kewangan Sabah, Datuk Salleh Sulong
4. Pembantu Menteri kepada Timbalan Ketua Menteri, Darius Binion
5. Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan, Wahid Andu
6. Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri, Syed Hussein Wafa
7. Setiausaha Sulit kepada Tengku Razaleigh Hamzah, Ishak Atan
8. Pengawal peribadi kepada Tun Fuad, Koperal Mohd Said
9. Juruterbang, Gandhi J Nathan
10. Anak kepada Tun Fuad Stephens, Johari
* 10 Jan 1982 – Pesawat Cessna 206 yang membawa Menteri Luar Negeri, Tun Mohd Ghazali Shafie, 50, terhempas di gunung Kampung Som Som Hilir berhampiran Kampong Janda Baik, 37.5km dari Kuala Lumpur.
Mohd Ghazali dan dua yang lain dari Kelab Penerbangan Diraja Selangor, Kuala Lumpur dalam penerbangan ke Kuala Lipis, kawasan pilihan raya yang diwakilinya.
Bagaimanapun Mohd Ghazali terselamat kerana jatuh di atas rimbunan pokok buluh.
* 8 Mac 1987 – Helikopter jenis Alouette yang dinaiki Datuk Seri Najib Tun Razak dari Pekan ke Kuala Lumpur terbabit nahas di Kilometer 49 Lebuhraya Karak-KL.
Najib yang ketika itu Menteri Kebudayaan, Belia & Sukan serta empat anak kapal dan penumpang selamat tanpa cedera.
* 18 Dis 1989 – Empat pegawai tinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk dua orang berpangkat Jeneral iaitu Mej. Jen. Datuk Mustaffa Awang dan Brig. Jen. Datuk Hasbullah Yussoff merupakan antara 16 pegawai dan anggota ATM terlibat nahas Helikopter Nuri di muara tebing Sungai Lundu, kira-kira 54km ke timur laut Kuching.
Kejadian yang dilaporkan berlaku dalam keadaan cuaca buruk dengan hujan lebat disertai angin kencang dan ribut petir itu mengorbankan semua penumpang .
Berdasarkan kenyataan rasmi Kementerian Pertahanan, helikopter itu terputus hubungan dengan menara kawalan selepas 15 minit berlepas.
TUDM melancarkan gerakan mencari dan menyelamat (SAR) dengan mengerah dua helikopter Alouette mengesan Nuri yang membawa individu penting dalam hierarki kepimpinan ATM itu, sehinggalah ia ditemui terhempas di muara Sungai Lundu, berhampiran Kampung Kuala Bandang, kira-kira 60 kilometer ke barat laut Kuching.
* 3 Mac 1997 – Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif DRB-HICOM Group, Tan Sri Yahaya Ahmad, 50, dan isterinya, Puan Sri Rohana Othman, 48, antara tiga yang terbunuh dalam nahas sebuah helikopter korporat.
Kejadian berlaku jam 11.15 malam apabila pesawat itu meletup dan terhempas di barat daya Kuala Lipis, Pahang.
Serpihan helikopter itu dijumpai di Kampung Atong, Jeransang, Benta, Pahang pada jam 1.33 pagi, 4 Mac 1997, kira-kira 44 km barat daya Kuala Lipis.
Sebelum itu, helikopter jenis Agusta A 109E Power dengan nombor pendaftaran 9M-DRB itu berlepas dari Segambut, Kuala Lumpur pada jam 10.45 malam menuju ke Kuala Terengganu .
Kejadian itu juga adalah nahas pertama di dunia membabitkan helikopter jenis Agusta A 109E Power.
* 5 Mei 2013 – Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, ketika itu Menteri Dalam Negeri bersama keluarganya terselamat selepas helikopter yang mereka naiki terbalik akibat angin kencang di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Sungai Besi.
Beliau, isteri, anak dan menantu selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian jam 3.50 petang itu.
Helikopter sewa milik syarikat swasta itu terbalik selepas mendarat berikutan angin kencang melanda kawasan itu.
Hishammuddin menaiki pesawat itu untuk ke Kuala Lumpur setelah pulang mengundi di Johor.
* 4 April 2015 – Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1M) Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis, 64, dan Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri Datuk Azlin Alias, antara enam yang terkorban apabila helikopter yang dinaiki mereka terhempas di Semenyih pada pukul 4.55 petang.
Helikopter jenis AS365N2 Dauphin itu terhempas di Kampung Sungai pening, Semenyih, Selangor.
Jamaluddin, Ahli Parlimen Rompin, menaiki helikopter itu dari Kuantan ke Subang selepas pulang dari menghadiri majlis resepsi perkahwinan anak perempuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Pekan, Pahang. - RakyatPost
* 12 Julai 2004 - Ahli Dewan Undangan Negeri Ba'kelalan yang juga Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (JKM), Dr. Judson Sakai Tagal; Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Lawrence Th'ng, ahli perniagaan keturunan Kelabit, Datuk Marcus Raja, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembekalan Letrik Sarawak (Sesco), Roger Wong serta dua jurutera Sesco, Jason Eng dan Ling Tian Ho terkorban apabila helikopter Bell 206 Long Ranger yang berlepas dari Bario terhempas di barat daya Pa Lungan dekat Bario. - Sarawakiana
* 12 Julai 2004 - Ahli Dewan Undangan Negeri Ba'kelalan yang juga Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (JKM), Dr. Judson Sakai Tagal; Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Lawrence Th'ng, ahli perniagaan keturunan Kelabit, Datuk Marcus Raja, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembekalan Letrik Sarawak (Sesco), Roger Wong serta dua jurutera Sesco, Jason Eng dan Ling Tian Ho terkorban apabila helikopter Bell 206 Long Ranger yang berlepas dari Bario terhempas di barat daya Pa Lungan dekat Bario. - Sarawakiana
Sejarah Nahas Udara Helikopter Libatkan VIP Di Malaysia
Reviewed by Salfian Nawawi
on
April 06, 2015
Rating:
No comments: