Seo Services

Tujuh Sekolah Di Sarawak Tersenarai Dalam Anugerah SKK



BATANG SADONG: Sebanyak tujuh buah sekolah di Sarawak telah diberikan pengiktirafan dalam Anugerah Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK).

Menteri Di Pejabat Perdana Menteri Hajah Nancy Shukri berkata, sekolah-sekolah tersebut adalah di Lawas, Miri, Sarikei, Lundu dan Dalat manakala dua buah sekolah lagi di Samarahan.

"Di Sarawak, sebanyak 111 sekolah Menengah dan Rendah telah dicalonkan untuk anugerah ini namun hanya tujuh saja yang terpilih."

Nancy, yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong berkata demikian dala ucapannya pada Majlis Kesyukuran atas Pengiktirafan sekolah ini dalam Anugerah SKK di SK Iboi/Pelandok di sini hari ini.

"Alhamdulillah, kita dapat bersama-sama berkumpul di SK Iboi/Pelandok bagi menyambut Majlis Kesyukuran atas Pengiktirafan sekolah ini dalam Anugerah SKK."

"Saya berasa amat sukacita apabila mendapat tahu bahawa SK Iboi/Pelandok merupakan salah satu daripada 135 sekolah di seluruh Malaysia yang telah dinobatkan sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan Fasa 9 bagi tahun 2015."

Mengucapkan syabas dan tahniah kepada GuruBesar SK Iboi/Pelandok yang telah berjaya memimpin sekolah sehingga tersenarai sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan Fasa 9 bagi SKK Tahap C Sekolah-Sekolah Luar Bandar dan Pedalaman, Nancy juga nenuji guru-guru serta seluruh warga sekolah yang turut menyumbang kepada kejayaan ini.

"Tidak dilupakan juga kepada Ibu Bapa anak-anak sekolah ini yang sentiasa menyokong serta menyuntik semangat kepada anak-anak mereka untuk sentiasa mempertingkatkan prestasi pelajaran masing-masing."

"Dengan pencapaian ini, bermakna SK Iboi/Pelandok menjadi salah satu kelompok sekolah yang akan dilonjak dan dilestarikan kecemerlangannya dan seterusnya diharap tersenarai sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT)," katanya lagi.

Nancy mengingatkan, gurubesar serta seluruh warga SK Iboi serta Ibu Bapa masih mempunyai peranan dan tugas dalam memastikan sekolah ini dapat mengekalkan kecemerlangan demi mencapai semua aspirasi negara pada masa hadapan.

"Pencapaian SK Iboi/Pelandok dalam keputusan UPSR untuk 3 tahun berturut amatlah membanggakan dengan keputusan kelulusan penuh pada tahun 2012 mencatat 86 peratus dengan Gred Purata Sekolah (GPS) 1.86."

"Pada tahun 2013 pula peratus kelulusan penuh SK Iboi/Pelandok ialah 93.4 peratus dengan GPS 2.1 dan tahun lalu (2014) peratus kelulusan penuh mencatat 80 peratus dengan GPS 2.1," tambahnya lagi.

Nancy menyatakan, beliau melihat pencapaian ini sebagai batu asas kecemerlangan yang kukuh di mana ia dapat menjadi contoh kepada sekolah-sekolah yang lain dan kejayaan ini juga dilihat berupaya menjadi motivasi yang akan membimbing sekolah-sekolah lain untuk sama-sama membangun menjadi kelompok ‘sekolah cemerlang’.

"Sekolah ini mengambil inisiatif sendiri dalam menggandakan usaha untuk mencapai pencapaian ini termasuk mengadakan Program Anak Angkat kepada pelajar yang lemah agar mereka sentiasa diberi perhatian sewajarnya," katany sambil menambah, ini merupakan usaha yang murni bukan sahaja demi mencapai kecemerlangan sekolah tetapi yang lebih penting ialah usaha ini dapat membantu pelajar terbabit.

Mengingatkan semua usaha ini penting agar setiap sekolah, dapat menjadi ‘agen perubahan’ yang akan membantu masyarakat di luar bandar untuk memperbaiki kehidupan ke tahap yang lebih maju, Nancy berkata, ini lebih-lebih lagi sebagai persediaan kita menghadapi cabaran yang lebih hebat pada masa akan datang.

"Oleh yang demikian, ibu bapa harus mengambil apa jua peluang yang disediakan oleh pihak sekolah dalam memberi anak-anak mereka ilmu, kerana jika anak-anak tidak diberi peluang, mereka akan berhadapan dengan kesukaran untuk mendapat pekerjaan sekaligus keluar daripada kancah kemiskinan."

"Sistem pendidikan negara telah berjaya mengurangkan kadar kemiskinan dengan signifikan di mana ketika mula merdeka hanya 2 peratus rakyat Malaysia yang kaya tetapi pada hari ini, hanya 2 peratus sahaja rakyat negara ini yang miskin."

Beliau juga menyatakan pendidikan juga penting dalam melahirkan modal insan yang bijak dalam menilai sesuatu isu dan ianya penting kerana kita tidak mahu generasi muda terlalu mudah terpengaruh dengan cabaran di media sosial.

"Apa lagi pada masa ini, ancaman Kumpulan Militan Negara Islam (IS) di Syria kini mula merekrut anak-anak muda termasuk kanak-kanak."

"Malaysia tidak ketinggalan dalam berdepan dengan ancaman ini apabila hampir setiap bulan kita mendapat tahu bahawa ada warga tempatan yang ditahan di KLIA dipercayai dalam perjalanan untuk menyertai kumpulan militant IS."

Nancy juga berharap sekolah-sekolah lain di Parlimen Batang Sadong menjadikan pendekatan dan cara kerja warga sekolah SK Iboi/Pelandok sebagai ‘template’ untuk mereka meletakkan sasaran dan KPI kepada sekolah masing-masing. - Sarawakiana

Tujuh Sekolah Di Sarawak Tersenarai Dalam Anugerah SKK Tujuh Sekolah Di Sarawak Tersenarai Dalam Anugerah SKK Reviewed by Salfian Nawawi on April 04, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.