Seo Services

Ujian Tunggal Miliki Lesen Memandu Mulai Bulan Depan


KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melaksanakan ujian tunggal bagi individu yang ingin memiliki lesen memandu kereta dan menunggang motosikal bermula bulan depan, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Aziz Kaprawi.

Beliau berkata, ini berikutan aduan serta kritikan yang diterima daripada orang ramai mengenai kekangan masa dan kos bagi menduduki dua ujian berasingan bagi mendapatkan lesen berkenaan.

“Untuk makluman, kerajaan telah mengambil kira segala pandangan orang ramai dan kita jangka akan laksana ujian tunggal mulai bulan depan.

“Kedua-dua ujian itu akan disatukan untuk kemudahan orang ramai selain mengurangkan kos bagi tujuan mendapatkan lesen berkenaan,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Hasbullah Osman (BN-Gerik) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Hasbullah ingin tahu mengenai langkah yang bakal diambil kerajaan bagi memudahkan rakyat memohon lesen memandu kereta dan motosikal di negara ini.

Bagaimanapun katanya, sukatan pelajaran kedua-dua ujian berkenaan adalah berbeza.

Katanya, hasil kaji selidik yang dijalankan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) menunjukkan peratusan kemalangan melibatkan motosikal adalah tinggi iaitu 60 peratus manakala 20 peratus kemalangan melibatkan kereta.

Menjawab soalan asal Shaharuddin Ismail (BN-Kangar) mengenai peratusan individu yang menduduki ujian berkomputer bagi mendapatkan lesen memandu, Aziz berkata 57 peratus calon lulus ujian undang-undang berkomputer bagi kali pertama, 38 peratus bagi kali kedua, 31 peratus bagi kali ketiga manakala 18 peratus calon mengambil ujian melebihi tiga kali.

“Ujian undang-undang berkomputer adalah bertujuan menilai dan menguji tahap kompetensi bakal pemandu dalam aspek pengetahuan berkaitan peraturan lalu lintas dan konsep pemanduan berhemah,” katanya.

Sebagai kerajaan bertanggungjawab, Aziz berkata rakyat yang kurang mahir dalam penggunaan komputer termasuk penduduk luar bandar dan warga emas akan sentiasa dibantu melalui sistem ujian bertulis atau lisan yang memberi tempoh lebih panjang kepada calon untuk sesi menjawab soalan. – Bernama
Ujian Tunggal Miliki Lesen Memandu Mulai Bulan Depan Ujian Tunggal Miliki Lesen Memandu Mulai Bulan Depan Reviewed by Unknown on April 02, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.