KANOWIT: Golongan profesional Dayak diminta agar tidak melampau dalam kritikan mereka terhadap wakil rakyat Barisan Nasional (BN) terutamanya daripada komuniti itu.
Menteri Pembangunan Tanah Sarawak, Tan Sri Dr James Masing berkata golongan profesional itu menggunakan media sosial untuk mengkritik wakil rakyat berketurunan Dayak berhubung isu-isu berkaitan komuniti tersebut.
"Kadang-kadang mereka terlalu melampau dalam mengkritik. Cukuplah dengan kritikan tersebut," katanya.
Berucap semasa sambutan pra-Gawai di Rumah Daniel Rangkong di Sungai Bawan, di sini hari ini, beliau berkata kebanyakan profesional terbabit daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Katanya, golongan profesional terbabit boleh memberitahu wakil rakyat secara berhemah bahawa apa yang mereka lakukan adalah salah dan sedia untuk mendengar.
"Tidak salah untuk mempunyai fahaman politik berbeza tetapi jangan melampau. Kita semunya orang Dayak," kata Masing.
Katanya, wakil rakyat Dayak ada kelemahan sendiri sedangkan pemimpin PKR juga tidak baik.
"Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan tidak membawa sebarang pembangunan kepada Sarawak.
"Beliau pernah berjanji membina jalan pesisir pantai bernilai RM700 juta untuk Sarawak tetapi tidak pernah menunaikannya," jelasnya.
Masing, yang juga Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), memberitahu hadiran majlis itu bahawa beliau tidak melihat sebarang masalah menyokong anggota dewan undangan negeri (Adun) Ngemah Alexander Vincent untuk mempertahankan kerusinya pada pilihan raya negeri akan datang.
Beliau berkata perkara yang penting sekarang ialah para penduduk kawasan dewan undangan negeri memberikan sokongan penuh kepada Alexander yang juga dari PRS untuk mewakili mereka bagi penggal kedua. - Bernama
Golongan Profesional Dayak Diminta Hentikan Kritikan Melampau
Reviewed by Salfian Nawawi
on
May 23, 2015
Rating:

No comments: