KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan akan terus memantau isu beras palsu yang dikatakan dikilang di China.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Kesihatan menjelaskan maklum mengenai dakwaan yang tersebar menerusi laman sosial bahawa 'beras palsu' dikeluarkan di China menerusi campuran kentang manis dan resin plastik.
Beras berkenaan dikatakan sudah dieksport ke beberapa negara Asia dan dikatakan sudah masuk pasaran tempatan dengan jenama tertentu.
Maklumat menerusi laman sosial menunjukkan beras palsu dapat dikenal pasti kerana ia kekal keras selepas dimasak dan selapisan seperti plastik akan kelihatan apabila beras ditanak.
"Resin plastik yang biasanya digunakan sebagai pembungkus makanan tidak boleh dicampur dalam makanan untuk dimakan. Jika dakwaan ini benar, ia adalah tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh menjejaskan kesihatan pengguna," kata kenyataan itu.
Mengikut Padiberas Nasional Berhad (BERNAS), sebahagian besar beras import Malaysia dari Vietnam, Thailand dan Pakistan. Pada tahun lalu, hanya 10 tan diimport dari China manakala hingga 30 April lalu, 22 tan beras diimport dari negara itu.
Import dari China adalah atas permintaan daripada restoran Jepun dan Korea untuk bijiran beras jenis japonica. Jumlah import dari China setakat ini sangat kecil, kurang 0.01 peratus daripada import keseluruhan 800,000 tan.
Selain beras, kementerian juga akan terus memberi maklumat kepada orang ramai jika terdapat penemuan baharu yang berkaitan dengan keselamatan makanan.
Justeru, orang ramai yang curiga dengan ketulenan beras boleh memaklumkan kementerian dengan menghubungi pejabat kesihatan terdekat atau laman sesawang Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan di http://fsq.moh.gov.my atau www.facebook.com/bkkmhg. - BH
Kementerian Kesihatan Pantau Beras Palsu
Reviewed by uMieySurianie
on
May 22, 2015
Rating:

No comments: